
Adun Apas itu menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas dan jauh dari realiti politik semasa dengan komuniti terbabit masih menaruh keyakinan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diterajui Ketua Menteri Hajiji Noor.
“Masyarakat Cina semakin selesa dengan kepimpinan Hajiji yang mempunyai rekod pentadbiran stabil dan berfokus kepada pembangunan rakyat,” katanya seperti dilaporkan Sabah Media.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Warisan Shafie Apdal yang mendakwa kehadiran masyarakat Cina pada majlis makan malam partinya di Tawau membuktikan perubahan sokongan.
“Itu cuma cakap beliau. Saya juga boleh katakan bukan hanya masyarakat Cina, malah semua rakyat Sabah memberi sokongan kuat kepada kerajaan GRS.
“Akhirnya rakyat yang menentukan siapa benar-benar bekerja untuk mereka,” kata Nizam yang juga pembantu menteri kepada ketua menteri.
Nizam berkata masyarakat Cina menilai kerajaan berdasarkan prestasi ekonomi dan kestabilan pentadbiran, bukannya retorik politik.
Katanya, ekonomi Sabah kini menunjukkan peningkatan dengan kemasukan pelaburan baharu serta aktiviti perniagaan yang kembali rancak.
“Ini bukti dasar kerajaan negeri di bawah Hajiji berkesan dan membawa hasil positif kepada rakyat,” katanya.