Pannir Selvam dihukum gantung 8 Okt, kata adik

Pannir Selvam dihukum gantung 8 Okt, kata adik

P Angelia berkata keluarganya dimaklumkan mereka dibenarkan lawatan harian lanjutan sehingga 7 Okt di Penjara Changi.

Pannir Selvam Pranthaman
P Pannir Selvam disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 27 Jun 2017 kerana menyeludup 51.84g diamorfin di pusat pemeriksaan Woodlands pada 2014. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia, P Pannir Selvam dijadualkan menjalani hukuman mati di Singapura pada pagi Rabu (8 Okt) kerana menyeludup 51.84g diamorfin ke negara itu.

Adiknya, Angelia memberitahu FMT, pihak berkuasa penjara memaklumkannya hari ini bahawa notis berhubung tarikh pelaksanaan hukuman mati sudah dikeluarkan kepada keluarga.

Notis bertarikh 4 Okt yang ditandatangani pegawai kanan Perkhidmatan Penjara Singapura memaklumkan ahli keluarga dibenarkan melakukan lawatan harian lanjutan sehingga 7 Okt ini di Pusat Hubungan Penjara Changi.

Peguam keluarga itu, N Surendren ketika dihubungi turut mengesahkan notis berkenaan.

Ditanya mengenai tindakan lanjut, katanya, beliau akan memaklumkan keluarga dan media sebaik saja keputusan dibuat.

Pannir disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 27 Jun 2017 kerana mengedar 51.84g diamorfin di pusat pemeriksaan Woodlands pada 3 Sept 2014. Dia dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 9 Feb 2018 dan petisyen pengampunannya kepada presiden Singapura ditolak.

Mahkamah Rayuan pada 6 Sept lalu turut menolak permohonan Pannir menangguhkan pelaksanaan hukuman mati sementara menunggu keputusan prosiding tatatertib yang dimulakannya terhadap bekas peguamnya melalui Persatuan Undang-undang Singapura.

Jika pelaksanaan hukuman mati itu diteruskan, ia akan menjadi hukuman mati kedua membabitkan rakyat Malaysia dalam tempoh dua minggu.

Pada 25 Sept lalu, K Datchinamurthy, 39, dihukum mati kerana menyeludup 44.96g diamorfin ke republik itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.