
Permohonan itu, yang dijadual didengar pada Isnin, melibatkan pesalah yang disabitkan kesalahan serius ketika masih di bawah umur dan dijatuhi hukuman tahanan tanpa tempoh ditetapkan di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001.
Permohonan tersebut difailkan pada Mac oleh firma guaman Rashid Zulkifli.
Salah seorang pemohon, Nguyen Doan Nhan, 26, seorang rakyat Malaysia berketurunan Vietnam, dipenjarakan di penjara Kluang selama hampir 10 sejak ditangkap pada Februari 2015 ketika berusia 17 tahun.
Nguyen disabitkan kesalahan membunuh oleh Mahkamah Tinggi pada 2017.
Disebabkan masih di bawah umur ketika kesalahan berlaku, dia dijatuhi hukuman tahanan di penjara ‘selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong’, sebagai ganti hukuman mati mandatori.
Rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan ditolak, menyebabkan dia kekal dipenjara tanpa tempoh masa bila akan dibebaskan.
Pemohon lain ialah N Harichandran, R Nomalan dan Hafizul Hafiq Masri (kes bunuh), Wong Soon Heng dan Leong Soon Long (bunuh dan culik), serta Aiman Al-Rashid Yaacob (mengedar dadah). Keenam-enam mereka kini berumur antara 30 hingga 35 tahun.
Dalam permohonan mereka, yang difailkan di bawah Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, semua banduan itu berhujah bahawa pemenjaraan tanpa tempoh yang jelas menjadi tidak berperlembagaan selepas pindaan undang-undang pada 2023.
Mereka berkata perubahan itu berkuat kuasa di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Katanya, tahanan mereka di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 kini melanggar hak mereka terhadap hidup dan layanan yang sama menurut undang-undang – Perkara 5(1) dan 8 Perlembagaan Persekutuan – kerana hukuman mati mandatori dan penjara sepanjang hayat telah dimansuhkan.
“Terdapat perubahan undang-undang yang melayakkan hukuman pemohon disemak dan dipertimbangkan semula atas alasan, antaranya, kepentingan keadilan dan membetulkan ketidakadilan,” kata peguam mereka Abdul Rashid Ismail.
Semua banduan itu memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk menyemak hukuman mereka, dengan kemungkinan digantikan dengan hukuman penjara dengan tempoh tertentu dan bukannya tahanan tanpa tempoh.
Di bawah pindaan 2023, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan.
Kesalahan pengedaran dadah kini membawa tempoh penjara tetap 30 tahun, dengan lelaki bawah umur 50 tahun dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Kesalahan membunuh dan penculikan boleh dihukum penjara 30 hingga 40 tahun serta 12 sebatan.
Semua banduan itu juga memohon apa-apa relif lain yang dianggap sesuai oleh Mahkamah Persekutuan.