
Beliau berkata sokongan meluas daripada orang awam menjadi sebab utama mengapa Singapura tidak akan meminda undang-undangnya untuk memansuhkan hukuman mati.
“Apabila kami bertanya kepada rakyat kami, hukuman mati memang sesuatu yang mengerikan, tetapi adakah anda masih percaya ia perlu dikekalkan sebagai penghalang kepada pengedaran dadah?
“Terdapat sokongan yang sangat besar,” katanya pada sesi meja bulat media bersama wartawan Malaysia.
Satu tinjauan dalam talian oleh Kementerian Dalam Negeri Singapura dari September hingga November tahun lalu mendapati kira-kira 84% responden percaya hukuman mati mampu menghalang jenayah berat seperti pembunuhan, pengedaran dadah dan penyeludupan senjata api.
Balakrishnan yang memegang portfolio luar negeri sejak 2015, berkata hukuman mati telah membantu memastikan Singapura kekal selamat.

“Jika kita lihat secara menyeluruh, adakah ketagihan dadah satu ancaman jelas kepada masyarakat? Saya fikir jawapannya di kedua-dua sisi sudut adalah ya, tanpa ragu,” katanya.
“Soalan seterusnya ialah: apa yang akan anda lakukan mengenainya? Dan di sinilah akan ada pelbagai jawapan. Malaysia telah memilih pendekatan yang berbeza daripada kami.”
Pada Julai 2023, Malaysia memansuhkan hukuman mati mandatori dan memberi budi bicara kepada hakim sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak.
Singapura pula terus menguatkuasakan hukuman mati dengan tegas, termasuk bagi kes pengedaran dadah.
Negara itu turut menerima kritikan baru-baru ini selepas melaksanakan hukuman mati terhadap dua warga Malaysia, K Datchinamurthy dan P Pannir Selvam, selepas permohonan pengampunan mereka ditolak.
Datchinamurthy, yang berusia 25 tahun ketika ditangkap pada 2011, disabitkan kesalahan menyeludup kira-kira 45 gram heroin ke Singapura.
Sementara itu, Pannir Selvam yang berusia 27 tahun ketika ditangkap pada 2014, didapati bersalah mengedar 51.8 gram heroin.
Kedua-duanya dijatuhi hukuman mati walaupun mendakwa mereka dipaksa menjadi ‘keldai dadah’.
Balakrishnan mengakui pelaksanaan hukuman mati adalah antara tanggungjawab paling berat bagi kerajaan Singapura.
“Ia satu isu yang langsung tidak memberi saya sebarang kegembiraan.
“Malah, permohonan pengampunan juga dibawa ke mesyuarat Kabinet. Itulah kertas kerja yang paling saya tidak gemari, tetapi saya memaksa diri untuk membacanya kerana membabitkan nyawa seseorang,” katanya.
Menurut beliau, dasar semasa itu mencerminkan sentimen rakyat dan tanggungjawab kerajaan untuk melindungi warganya.
“Buat masa ini, kami melakukan apa yang kami percaya betul, dan apa yang rakyat kami percaya betul. (Masalah pengedaran dadah) ini adalah satu wabak besar yang merosakkan masyarakat kami.
“Kami semua manusia, kami semua ada perasaan, dan kami cuba melakukan yang terbaik untuk rakyat kami,” katanya.