

“Belum ada petunjuk atau penampakan sebenar, tetapi orang ramai mula menghubungi kami,” kata Daylin Limonte Alvarez kepada FMT. Beliau percaya ia ‘hanya soal masa’ sebelum seseorang ternampak anak lelakinya, Caleb Liang Wei Luqman Limonte.
Wanita berusia 36 tahun itu mendakwa Caleb dibawa bapanya, Luqman Liang Hsien Masood, pada Mei tahun lalu ke Malaysia, sekali gus melanggar perintah hak penjagaan.

Beliau berkata Mahkamah Syariah di Singapura dan Johor Bahru memberikan hak penjagaan tunggal kanak-kanak itu kepadanya dan memerintahkan Luqman memulangkan kanak-kanak itu kepadanya. Nur Alert dikeluarkan di Malaysia untuk membantu mengesan kanak-kanak itu.
Minggu lalu, New Straits Times melaporkan Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, mengesahkan siasatan kes itu masih berjalan.
Daylin menyatakan penghargaan kepada polis Malaysia, menyifatkan mereka sebagai ‘amat membantu’.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada mereka menerima bantuan daripada rakan sejawat di Singapura.
Beliau mendakwa polis Singapura masih belum menyoal siasat ibu bapa Luqman atau meneliti rekod kewangan yang boleh membantu mengesan anaknya. Beliau juga berkata keluarga Luqman mungkin berhubung dengannya dan menyokongnya dari segi kewangan.
Daylin merayu kepada orang ramai untuk membantu, dan menawarkan ganjaran RM50,000 untuk maklumat yang boleh membawa kepada penemuan Caleb.
“Jika sesiapa ternampak kanak-kanak ini, mereka boleh menghubungi saya di helpfindcaleb.com,” katanya.
Kepada anaknya, beliau berkata: “Caleb, Mama sedang mencari kamu. Mama sayang kamu, dan Mama tidak akan berhenti mencari.”