Budak 6 tahun ditemukan ditanam di Jempol mati dijerut

Budak 6 tahun ditemukan ditanam di Jempol mati dijerut

Bedah siasat di Hospital Rembau dapati mangsa meninggal dunia disebabkan tekanan pada leher akibat jerutan pengikat kabel.

mayat
Mayat seorang budak lelaki berusia 6 tahun yang dilaporkan hilang oleh bapanya pada 24 Julai dijumpai ditanam di Jempol, Negeri Sembilan, petang semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Budak lelaki enam tahun yang mayatnya ditemukan ditanam di Jempol, Negeri Sembilan didapati maut akibat dijerut, menurut hasil bedah siasat.

Ketua Polis Negeri Sembilan Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Rembau tengah hari tadi mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan tekanan pada bahagian leher akibat jerutan pengikat kabel.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian akibat tekanan oleh jerutan pengikat kabel. Tekanan di leher boleh menyebabkan kematian,” katanya menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, lapor Bernama.

Ahmad Dzaffir berkata, kes awal disiasat oleh polis Johor membabitkan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 serta Seksyen 323KK/18 Akta Keganasan Rumah Tangga dan orang hilang.

Dilaporkan sebelum ini, bapa kandung mangsa berusia lingkungan 30an direman tujuh hari bagi membantu siasatan, selepas dia membuat laporan pada 24 Julai mendakwa anaknya hilang di Bukit Indah, Johor.

Lelaki itu pada awalnya mendakwa anaknya hilang kira-kira 4 petang, 23 Julai ketika ditinggalkan berseorangan di dalam kereta semasa dia keluar membeli makanan.

Mayat kanak-kanak itu kemudian dijumpai ditanam di kawasan Rompin kira-kira 4.30 petang semalam.

Ahmad Dzaffir hari ini berkata, buat masa ini suspek masih lagi ditahan reman di Johor dan pihaknya akan memanggil saksi untuk membantu siasatan, terutamanya ibu mangsa.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, pihaknya dimaklumkan suspek menghadapi masalah rumah tangga dan dalam proses bercerai dengan isterinya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Jempol Norhisham Mustapar memberitahu Bernama, polis merampas sebilah cangkul dipercayai digunakan suspek untuk menggali lubang sebelum menanam mayat kanak-kanak itu di kawasan terpencil berhampiran Jalan Bahau–Rompin.

“Soal siasat lanjut terhadap suspek akan dijalankan sebaik suspek dibawa ke IPD Jempol beberapa hari lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.