Henti amalan wajib kelulusan rasmi interaksi NGO, komuniti

Henti amalan wajib kelulusan rasmi interaksi NGO, komuniti

CSO Platform for Reform berkata keperluan prosedur umpama sekatan boleh ancam ruang sivik dan mengehadkan penglibatan awam yang bermakna.

jabatan hutan sarawak
Selasa lalu Jabatan Hutan Sarawak dilaporkan berkata komuniti Ulu Baram, Miri memutuskan NGO dan aktivis hanya boleh berinteraksi dengan mereka jika mendapat kebenaran pejabat residen atau pejabat daerah.
PETALING JAYA:
Sebuah gabungan pertubuhan masyarakat sivil mahu amalan mewajibkan kelulusan rasmi bagi penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis dengan komuniti dihentikan segera.

CSO Platform for Reform menyifatkan langkah itu sebagai sekatan tidak wajar terhadap organisasi masyarakat sivil (CSO) dan pembela hak asasi manusia yang berperanan penting dalam memajukan dan melindungi hak komuniti.

Katanya, sasaran sistematik menerusi keperluan prosedur itu secara langsung mengancam ruang sivik dan mengehadkan penglibatan awam yang bermakna.

“Sekatan-sekatan ini berisiko menjejaskan usaha sah dan penting mereka dalam mempromosikan keadilan sosial, pembangunan lestari, dan penyertaan demokrasi.

“Maka kami menuntut semua amalan yang menakut-nakutkan, menyekat atau menyasarkan NGO dan pendepan hak asasi manusia dihentikan segera,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihak berkuasa kerajaan dan kepimpinan tempatan perlu mewujudkan persekitaran yang membolehkan kerjasama secara telus, konstruktif dan tanpa halangan antara masyarakat sivil dan komuniti tempatan.

“Juga menubuhkan perlindungan undang-undang yang jelas untuk melindungi NGO dan pembela hak asasi manusia daripada gangguan dan ugutan dalam menjalankan kerja mereka,” katanya.

Selasa lalu, Jabatan Hutan Sarawak dilaporkan berkata komuniti Ulu Baram, Miri memutuskan NGO dan aktivis hanya boleh berinteraksi dengan mereka jika mendapat kebenaran pejabat residen atau pejabat daerah.

Katanya, keputusan itu dibuat semasa dialog projek Sarawak-International Tropical Timber Organisation (ITTO) baru-baru ini yang menghimpunkan 70 peserta dari 32 kampung, bersama wakil kerajaan.

Jabatan itu berkata, ramai pemimpin komuniti berkongsi pengalaman dipinggirkan atau suara mereka diwakili tanpa persetujuan, yang membawa kepada kekeliruan, perpecahan, dan hakisan kepercayaan dalam dan antara kampung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.