GRS tawar PH 23 kerusi, kata STAR jelas keputusan tanding solo

GRS tawar PH 23 kerusi, kata STAR jelas keputusan tanding solo

Parti Solidariti Tanah Airku berkata keputusan GRS itu adalah bercanggah dengan sentimen rakyat Sabah.

Ketua Penerangan STAR, Anuar Ghani berkata parti itu mahu memastikan kerajaan Sabah dipimpin oleh parti tempatan tanpa campur tangan luar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menawarkan 23 kerusi untuk ditandingi Pakatan Harapan (PH) dalam PRN akan datang, kata Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Ketua Penerangan STAR, Anuar Ghani berkata keputusan itu adalah bercanggah dengan sentimen rakyat Sabah.

Anuar berkata STAR menyatakan sokongan penuh keputusan Presiden parti, Jeffrey Kitingan, untuk bertanding secara solo pada pilihan raya akan datang, kerana ia merupakan keputusan terbaik untuk mempertahankan aspirasi rakyat Sabah.

Beliau berkata STAR tidak dapat menyokong sebarang kerjasama GRS dengan PH atau Barisan Nasional (BN).

“STAR menegaskan bahawa jika GRS memilih untuk bertanding secara solo, parti ini akan bersama.

“Tetapi jika GRS memilih bersekongkol dengan PH atau BN, STAR tidak boleh menyokong kerana ia menentang suara majoriti rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Anuar berkata STAR mahu memastikan kerajaan Sabah dipimpin oleh parti tempatan tanpa campur tangan luar, demi maruah serta kedaulatan negeri Borneo itu.

“Kami yakin bahawa langkah bertanding solo ini adalah keputusan terbaik demi rakyat, seiring dengan perjuangan ‘Keadilan untuk Sabah’ dan memastikan ‘Sabah untuk Sabah’ benar-benar terlaksana,” katanya.

Semalam, GRS mengesahkan bahawa STAR dan Parti Progresif Sabah (SAPP) keluar daripada gabungan itu berikutan perbezaan pendapat mengenai pakatan pilihan raya dengan PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.