Bersatu bergolak, PAS kini perlu lebih inklusif, kata penganalisis

Bersatu bergolak, PAS kini perlu lebih inklusif, kata penganalisis

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari USM berkata krisis Bersatu membuka ruang untuk PAS menunjukkan daya tarikan kepada bukan Melayu menjelang PRU16.

Sanusi Md Nor
Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata PAS perlu mendekati banyak program akar umbi merentas agama dan etnik bagi menunjukkan sifat inklusif.
PETALING JAYA:
Pergolakan dalaman Bersatu menyebabkan PAS perlu menonjolkan dirinya sebagai parti berwibawa menjaga pelbagai kaum, melangkaui kubu kuatnya di negeri-negeri utara dan pantai timur, kata penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata perbalahan terbuka Bersatu, yang tercetus selepas serangan terbuka Wan Saiful Wan Jan terhadap Setiausaha Agung Azmin Ali, menyebabkan ‘perpecahan serius yang menimbulkan keraguan terhadap kemampuan parti Melayu itu untuk memimpin negara.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid
Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

“Kita sebelum ini menjangkakan Bersatu memainkan peranan sebagai pengimbang imej PAS di negeri lebih majmuk, tetapi dengan masalah semasa melandanya, keperluan untuk PAS tampil lebih layak dipilih dan bersifat terbuka kepada semua semakin mendesak.

“Tokoh Bersatu masih boleh membantu, tetapi peranan PAS semakin penting dalam Perikatan Nasional (PN) tidak dapat dielakkan,” kata bekas profesor Universiti Sains Malaysia itu kepada FMT.

Beliau turut memberi amaran keadaan itu akan menyebabkan lawan politik akan cuba menggambarkan PAS sebagai ekstremis atau eksklusif berasaskan kaum.

“PAS kini diberi peluang keemasan untuk mengubah hala tuju PN dengan acuan Islam dan membuktikan kepada rakyat Malaysia serta dunia bahawa perkongsian politik berteraskan Islam boleh berjaya menguruskan sebuah negara moden dengan cara inklusif dari segi kaum dan agama.

“Tanggungjawab kini terletak pada PAS, dengan bantuan Bersatu, untuk membuktikan bahawa ia bukan ekstremis atau eksklusif berasaskan kaum,” katanya sambil menggesa PAS supaya lebih aktif berhubung dengan komuniti bukan Melayu.

Susulan serangan lantang Wan Saiful pada sidang media, Isnin lalu, pemimpin PAS kebanyakannya mengambil sikap berhati-hati daripada mengulas mengenai permusuhan terbuka dalam Bersatu.

Parti itu juga dikenali dengan tradisi menyelesaikan pertikaian secara dalaman, jarang membiarkannya terbuka kepada umum.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) pula mencadangkan PAS mengambil peluang menerajui PN sehingga Bersatu menyelesaikan masalahnya.

Tawfik Yaakub
Tawfik Yaakub.

“Bagaimana Bersatu boleh memimpin sedangkan ia sudah parah ditembak oleh orang sendiri?” soalnya.

Tawfik menyifatkan perebutan kuasa dalam Bersatu sebagai ‘memalukan’ dan akan melemahkan keyakinan pengundi menjelang PRN Sabah dan PRU16.

Beliau menambah jika Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin terus berdiam diri, parti itu berisiko kehilangan pengaruh kepada PAS dan Umno dalam pilihan raya akan datang.

“Bersatu sepatutnya menjadi penyatu orang Melayu dan alternatif kepada Umno, tetapi kini ia runtuh kerana pertelingkahan dalaman yang didedahkan kepada umum.

“Ini amat memalukan bagi sebuah parti yang pernah mengetuai kerajaan persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.