MIC lihat PN ‘cahaya di hujung terowong’, dakwa sumber

MIC lihat PN ‘cahaya di hujung terowong’, dakwa sumber

Sumber dalaman berkata MIC hampir meninggalkan BN untuk menyertai PN, kerana parti itu telah menemui jalan buntu di bawah gabungannya sekarang.

MIC
MIC telah menyaksikan pengaruhnya semakin berkurangan sejak BN kehilangan majoriti dua pertiga parlimen pada pilihan raya umum 2008. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
MIC dikatakan akan keluar daripada Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang, yang dilihat sebagai ‘cahaya di hujung terowong gelap’ bagi parti itu.

Menurut sumber parti, MIC berpendapat kedudukannya dalam BN tidak lagi boleh dipertahankan kerana Umno kini hanya menumpukan perhatian kepada kelangsungan politiknya sendiri dan meninggalkan sekutu tradisinya, MIC serta MCA, untuk berjuang sendirian.

Sebagai contoh, sumber itu berkata Umno sepatutnya boleh menyerahkan dua jawatan menteri kepada MCA dan MIC sekiranya benar-benar serius mahu mengekalkan sokongan daripada dua sekutu lamanya itu.

“Kita sudah menemui jalan buntu dengan BN,” kata sumber tersebut kepada FMT.

Sumber itu turut berkata pemimpin MIC yakin parti tersebut tidak mungkin akan diberikan banyak kerusi untuk ditandingi pada PRU16 nanti.

Pada PRU15 2022, MIC bertanding di 11 kerusi Parlimen tetapi tewas di semua kerusi kecuali Tapah, menjadikan Timbalan Presiden M Saravanan satu-satunya wakil parti itu di Dewan Rakyat.

“Tidak mungkin DAP atau PKR, yang memenangi kebanyakan kerusi tersebut, akan cukup berlapang dada untuk memberikannya kepada kami.”

Sumber itu berkata MIC, yang merupakan ahli pengasas Parti Perikatan yang akhirnya berkembang menjadi BN, telah menyaksikan pengaruhnya merosot dengan ketara sejak BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen pada PRU 2008.

Kekecewaan parti terhadap kerajaan perpaduan juga semakin meningkat. Pada Julai, MIC menyatakan bahawa mereka berasa seperti tidak diperlukan, manakala Saravanan mendakwa MIC telah ‘ditipu’daripada jawatan Kabinet yang dijanjikan selepas PRU15.

Presiden parti SA Vigneswaran sebelum ini menegaskan bahawa MIC masih ‘membuka pilihan’ dan tidak menolak kemungkinan untuk menyertai PN, walaupun beliau berkata masih ‘terlalu awal’ untuk parti itu membuat keputusan.

Seorang lagi sumber dalaman parti berkata keputusan akhir MIC dijangka dibuat selepas pertemuan dengan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, yang telah meminta taklimat mengenai sentimen akar umbi dalam kalangan pengundi India.

Sebaliknya, sumber itu turut berkata PN berkemungkinan akan membenarkan MIC bertanding di beberapa kerusi tradisinya, termasuk beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Dalam keadaan sekarang, pilihan terbaik bagi parti ialah menyertai PN agar terus relevan dalam mewakili masyarakat India,” tambah sumber itu.

Seorang lagi orang dalam parti berkata MIC perlu ‘mengembalikan maruahnya’ dan membuktikan bahawa ia masih mampu membawa undi masyarakat India di kawasan campuran yang boleh menentukan keputusan pilihan raya.

Kota Kemuning di Selangor disebut sebagai salah satu kawasan itu, dengan jumlah pengundi Melayu dan Cina yang hampir seimbang serta sekitar 20% pengundi India.

Sumber itu juga mendakwa mendakwa kira-kira 65% hingga 70% pengundi Melayu telah beralih sokongan kepada PN. Perkara itu menjadikan undi bukan Melayu — terutamanya daripada masyarakat India — sangat penting.

“Jika penganalisis mengatakan pengundi India mula condong kepada pembangkang, mereka silap. Ia bukan baru hendak condong — ia sudah pun condong dan kami dengar bahawa pemimpin Pakatan Harapan kini sangat bimbang,” kata sumber dalaman parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.