Tengku Amir Shah, Afzaa Fadini selamat ijab kabul

Tengku Amir Shah, Afzaa Fadini selamat ijab kabul

Akad ijab dan kabul dilafazkan pada 10.08 pagi dengan sekali lafaz, disusuli 11 das tembakan meriam.

Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Afzaa Fadini Abdul Aziz selamat diijabkabulkan di Masjid Istana Diraja. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Afzaa Fadini Abdul Aziz selamat diijabkabulkan dalam istiadat pernikahan diraja di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Pasangan pengantin diraja dinikahkan oleh Mufti Selangor Anhar Opir, dengan disaksikan Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Datuk Setia Putra Alhaj pada istiadat pernikahan yang diadakan secara tertutup.

Menurut Facebook Selangor Royal Office, akad ijab dan kabul dilafazkan pada 10.08 pagi dengan sekali lafaz, disusuli 11 das tembakan meriam oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) sebagai menandakan istiadat pernikahan telah disempurnakan.

Istiadat pernikahan disaksikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

“Turut hadir kerabat diraja Selangor dan keluarga pengantin diraja perempuan serta sahabat handai kedua belah pihak,” menurut hantaran.

Terdahulu, Tengku Amir Shah diarak menaiki kenderaan istana sejauh 650 meter dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah dengan disaksikan ribuan masyarakat yang hadir bagi bersama-sama meraikan hari istimewa itu.

Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin mengurniakan darjah kebesaran kelas pertama Seri Paduka Mahkota Selangor yang membawa gelaran Datin Paduka Seri kepada Afzaa, sejurus sempurna diijabkabulkan dengan Tengku Amir Shah.

Afzaa, 32, yang merupakan anak ketiga dan satu-satunya puteri kepada pasangan Abdul Aziz dan Rosmawati Ismail memiliki ijazah sarjana muda dalam pengajian pembangunan dan ekonomi dari Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika (SOAS) Universiti London, sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang bandar lestari di King’s College London.

Sepanjang pengajiannya di luar negara, Afzaa aktif dalam kepimpinan pelajar dan inisiatif kemasyarakatan, selain pernah memegang jawatan sebagai presiden SOAS Malaysian Society dan juga wakil kampus bagi pertubuhan bukan kerajaan, Teach For Malaysia.

Afzaa juga merupakan pakar arboris bertauliah, serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan melalui khidmat langsung kepada komuniti dan terlibat dalam program keselamatan makanan untuk komuniti Orang Asli bersama Free Food Society, serta menyokong advokasi hak asasi manusia melalui Amnesty International.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.