
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata kertas siasatan berkaitan penemuan wang tunai itu sudah lengkap dan pihaknya sedang menunggu keputusan atau pandangan pendakwa raya.
“Jika sumber wang itu tidak dapat dikenal pasti, kami akan menyiasat bawah AMLA atas kesalahan pengubahan wang haram,” katanya pada sidang media selepas program ‘Anak Syurga’ di IPK Selangor.
Ditanya adakah berlaku pelucutan hak terhadap wang itu, beliau ringkas menjawab ‘ya’ jika kes disiasat bawah AMLA
Terdahulu, Hussein dilaporkan berkata pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan kes bagasi merah jambu itu kepada Bukit Aman dalam masa terdekat susulan kegagalan penuntut yang mendakwa pemilik wang tersebut gagal membuktikan sumber kewangan.
Bagasi itu ditemukan pengawal keselamatan di pusat beli-belah di Damansara pada 19 Mac lalu sebelum seorang pengarah syarikat menuntutnya tetapi gagal mengemukakan bukti kepada polis.
Sementara itu, berhubung laporan satu akaun TikTok palsu Raja Muda Selangor, Hussein berkata setakat ini penyamar belum dikenal pasti.
Bagaimanapun, beliau berkata polis meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menurunkan beberapa pautan berkait akaun palsu itu.
“SKMM dah turunkan lima hingga enam pautan dan siasatan akan diteruskan, ia satu proses akan mengambil masa,” katanya.
Semalam, polis mengesahkan menerima laporan berhubung satu akaun TikTok palsu menggunakan gambar profil dan nama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin.
Hussein berkata, laporan polis mengenai perkara itu dibuat pejabat Istana Selangor pada Isnin.