
Perkembangan ini berikutan penahanan dua individu kerana didapati menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas kawalan keselamatan perhimpunan di depan Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS), di ibu negara petang tadi.
KDN menegaskan hak berhimpun secara aman dijamin di bawah Perlembagaan namun hak tersebut mesti dilaksanakan tanpa menjejaskan keselamatan awam, mengganggu ketenteraman masyarakat, atau menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas rasmi.
“KDN menyokong penuh tindakan polis yang tegas serta berlandaskan undang-undang demi menjamin ketenteraman dan keselamatan negara,” menurut kenyataan.
KDN berkata polis sedia memberikan kerjasama keselamatan kepada mana-mana penganjur yang ingin melaksanakan perhimpunan secara aman dengan mematuhi peraturan.
“Pada masa yang sama, KDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar undang-undang, mengganggu ketenteraman awam atau mencetuskan ancaman keselamatan,” katanya.
Terdahulu, suatu tunjuk perasaan diadakan di hadapan kedutaan AS susulan tindakan Israel menahan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk rakyat Malaysia.
Keadaan perhimpunan menjadi tegang selepas beberapa peserta mula menghalang aliran trafik di Jalan Tun Razak, menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus.
Keadaan itu mencetuskan kekecohan apabila seorang anggota polis mengalami kecederaan di bahagian mulut akibat disiku peserta himpunan.
Dua lelaki berusia 23 dan 32 tahun kini disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.