
Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Kim Hai, 50, dan Ang Teck Ann, 52, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan mereka dipenjarakan 10 bulan jika gagal membayar denda.
Lim didakwa secara rasuah diberi wang tunai RM3.5 juta oleh bekas pengarah syarikat MEX II Sdn Bhd, Yap Wee Leong, sebagai upah mendapatkan tiga syarikat subkontraktor iaitu Villas Hub Sdn Bhd, Jade Centennial Sdn Bhd, dan Bidang Bakat Sdn Bhd untuk Golden Base Construction Sdn Bhd.
Menurut Bernama, Ang pula didakwa diberi RM500,000 sebagai upah kerana menjadi orang perantara antara Lim dan seorang lagi individu untuk mendapatkan tiga syarikat subkontraktor tersebut.
Namun, mereka tidak melaporkan pemberian suapan itu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis dan tindakan itu melanggar peruntukan Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di KH LIM Corporate Consultancy Sdn Bhd, Mid Valley City, antara Jun 2017 hingga Jun 2018 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry, Nurul Izzati Sapifee, dan M Esther Jacyntha memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda maksimum mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan dua lelaki tersebut.
“Pihak pendakwaan juga mohon harta berkaitan iaitu wang tunai dalam dua pertuduhan itu dilucutkan hak kepada kerajaan mengikut Seksyen 40(1) Akta SPRM 2009 kerana diperoleh secara tidak sah di sisi undang undang,” kata Fadhly.
Hakim membenarkan permohonan pelucuthakan itu kepada kerajaan.
Peguam James Chow dan Ramalingam Karuppiah masing-masing mewakili Lim serta Ang memohon hukuman denda ringan atas alasan mereka telah insaf dan memberikan kerjasama baik kepada SPRM sepanjang siasatan.