
Ketua Penerangan PBS Joniston Bangkuai, berkata Majlis Tertinggi parti telah memutuskan pada mesyuarat terakhirnya, bahawa ia akan kekal bersama GRS pada PRN akan datang.
Namun, beliau seakan-akan membayangkan pendirian itu masih boleh berubah sekiranya Majlis Tertinggi PBS memutuskan sebaliknya.
“Apa yang boleh saya katakan adalah Majlis Tertinggi PBS, pada mesyuarat terakhirnya membuat pendirian kekal bersama GRS.
“Sebarang keputusan baharu perlu dirujuk kepada Majlis Tertinggi,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, The Daily Express memetik kenyataan Kitingan, selaku presiden STAR sebagai berkata, partinya dan PBS akan bertanding secara solo pada PRN, bukannya di bawah bendera GRS sekiranya tuntutan kerusi tidak dipenuhi.
Kitingan berpandangan bahawa GRS telah menyerahkan terlalu banyak kerusi kepada Pakatan Harapan (PH), rakan pakatan pilihan raya.
Timbalan ketua menteri itu juga dilaporkan berkata pada satu majlis di Tambunan hari ini bahawa perbincangan sedang berlangsung dan keputusan muktamad ‘hanya akan diketahui dalam beberapa hari akan datang’.
Apa disebutnya kelihatan bercanggah dengan laporan Star yang memetik kenyataan Kitingan sebagai mengesahkan STAR telah meninggalkan GRS berikutan pakatan bersama PH, dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat ‘bila-bila masa hari ini’.
Parti Progresif Sabah, pimpinan Yong Teck Lee, juga dilaporkan bersedia mengikut jejak langkah STAR.
Joniston, yang juga ketua penerangan GRS, berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada STAR telah keluar gabungan itu, sambil menambah beliau hanya membaca mengenainya dalam laporan berita.
FMT telah menghubungi Kitingan dan setiausaha agung GRS Masidi Manjun untuk mendapatkan komen.