4 sindiket tumpas, polis rampas dadah RM8.4 juta

4 sindiket tumpas, polis rampas dadah RM8.4 juta

Polis rampas pelbagai jenis dadah seberat 106kg terdiri ketamin, ekstasi, bunga ganja dan syabu.

‎‎Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang media. (Gambar Bernama)

‎SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah selepas menahan lima lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM8.4 juta dalam serbuan di beberapa lokasi di Selangor dari 23 hingga 26 Sept lalu.

‎‎Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah seberat 106kg terdiri ketamin (63.7kg), ekstasi (27.7kg), bunga ganja (12.3kg) dan syabu (2.5kg) dengan nilai sitaan barangan lain berjumlah RM149,540.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama pihaknya menahan seorang seorang lelaki tempatan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika menarik sebuah bagasi di sekitar Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 Sept.

“Pemeriksaan ke atas suspek berusia 42 tahun yang bekerja dengan syarikat kontraktor binaan itu menemukan bunga ganja seberat 12.3kg, selain didapati mempunyai 16 rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah.

‎‎”Saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM432,000 dan barangan itu dipercayai untuk dihantar ke luar negara,” katanya pada sidang media.

‎Shazeli berkata, pada hari sama pihaknya merampas dua bungkusan plastik berisi dadah jenis ekstasi seberat 26.5kg yang ditinggalkan dalam sebuah kereta di sekitar Bagan Sekinchan, Sabak Bernam selepas mengejar seorang lelaki tempatan pada kira-kira 7.30 malam.

Beliau berkata, melalui risikan polis akhirnya berjaya menahan lelaki berkenaan di Wangsa Maju kira-kira 10.30 malam, 26 Sept.

‎‎”Suspek yang bekerja sebagai penghantar barangan ini tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan negatif dadah. Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM4.3 juta, selain turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM22,000 dan pelbagai mata wang berjumlah RM540,” katanya.

Shazeli berkata, kes ketiga melibatkan rampasan dadah jenis ketamin seberat 47kg pada 24 Sept selepas menahan dua lelaki warga asing ketika mereka sedang memunggah dua beg dari sebuah rumah ke sebuah kereta di unit pangsapuri di Kajang.

‎Katanya, pemeriksaan lanjut di rumah disewa suspek menemukan dadah disyaki jenis ekstasi seberat 2kg yang kemudian membawa kepada serbuan ke atas sebuah kereta di kawasan rumah sama dan menemukan 16.7kg dadah jenis ketamin dengan nilai keseluruhan rampasan dianggar RM3.5 juta.

Shazeli berkata, suspek masing-masing berusia 35 dan 36 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan itu dipercayai masuk ke negara ini semata-mata untuk bekerja dengan sindiket dadah.

‎‎”Serbuan ini turut menyaksikan sebanyak lima buah kereta dengan anggaran nilai RM127,000 disita dan kita percaya dadah berkenaan adalah untuk pasaran Lembah Klang,” katanya.

Katanya, pada 26 Sept polis menahan seorang penganggur warga tempatan berusia 25 tahun di Hulu Langat selepas mengesan sebuah bungkusan berisi dadah jenis syabu seberat 2.5kg yang disorokkan di dalam tabung ekzos motosikal.

Menurutnya, lelaki itu dipercayai mengirim bungkusan berkenaan untuk dihantar ke luar negara dengan nilai rampasan kes ini berjumlah RM80,000 dan suspek didapati mempunyai dua rekod lampau selain positif amphetamine dan methamphetamine.

‎‎”Semua suspek direman tujuh hingga 14 hari dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.