SK Putrajaya Presint 11(1) dinobat sekolah terbaik dunia

SK Putrajaya Presint 11(1) dinobat sekolah terbaik dunia

Sebagai pemenang, sekolah itu menerima hadiah wang tunai USD50,000 atau RM235,000.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (tengah) menghadiri majlis pengumuman SK Putrajaya Presint 11(1) sebagai pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) diumumkan pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat oleh T4 Education, sekali lagi mengharumkan nama negara di pentas pendidikan global.

Pengumuman itu dibuat Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi siaran langsung perhimpunan khas anjuran bersama KPM dan Yayasan Hasanah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

“Diasaskan T4 Education, Anugerah Sekolah Terbaik Dunia merupakan anugerah pendidikan paling berprestij dunia, mengiktiraf institusi yang memberi inspirasi kepada perubahan positif menerusi amalan inovasi boleh dicontohi sekolah lain di seluruh dunia.

“SK Putrajaya Presint 11(1) dinamakan pemenang dan menerima USD50,000 (RM235,000),” kata Fadhlina pada majlis pengumuman itu.

T4 Education ialah badan pendidikan global berpangkalan di United Kingdom yang menyediakan platform untuk sekolah berkongsi kejayaan dan inovasi mereka dengan misi meraikan sekolah mendorong perubahan, menunjukkan amalan terbaik dan memberi inspirasi kepada sistem pendidikan di seluruh dunia untuk mencontohi model itu.

Sejak 2022, T4 Education menonjolkan sekolah yang membawa perubahan besar kepada komuniti dalam bidang pendidikan, kesejahteraan pelajar, mengatasi cabaran dan tindakan berkaitan alam sekitar.

Kejayaan SK Putrajaya Presint 11(1) berdasarkan inisiatif pembangunan aplikasi mudah alih dikenali HELPIE yang dilancarkan pada 2023 untuk meningkatkan kesedaran dan memberi sokongan kesihatan mental kepada murid.

Digabungkan dengan kempen rakan sebaya bilik darjah, inisiatif itu memanfaatkan lebih 1,000 murid.

Fadhlina berkata, Malaysia memiliki sejarah membanggakan dalam Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, apabila SK Kempadang di Pahang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa di Selangor disenarai pendek sekolah terbaik untuk pendekatan inovasi dihasilkan mereka pada 2022.

“Tahun ini, SK Putrajaya Presint 11(1) meneruskan legasi ini dengan berdiri megah dalam kalangan 10 sekolah terbaik dunia.”

Katanya, pengiktirafan itu bukan saja mengangkat Malaysia di pentas pendidikan global, tetapi juga menunjukkan bagaimana sekolah boleh menjadi perintis kepada penyelesaian dalam cabaran mendesak seperti kesihatan mental generasi muda.

Sebagai pemenang, tiga wakil sekolah itu akan menghadiri Persidangan Sekolah Dunia 2025 di di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dari 13 hingga 20 Nov ini bertemakan “Kepimpinan untuk Dunia Lebih Baik” yang menghimpunkan sekolah, pemimpin pendidikan, inovator dan pembuat dasar dari seluruh dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.