Anwar puji SPRM, anggap paling berani dalam sejarah

Anwar puji SPRM, anggap paling berani dalam sejarah

Perdana menteri berkata belum pernah dalam sejarah badan antirasuah itu bertindak berani dan menyeluruh terhadap individu berpengaruh.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata hanya dengan ketegasan yang ditunjukkan SPRM, integriti negara dapat dipulihkan daripada ketirisan dan rasuah.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memuji Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang digambarkan beliau sebagai yang paling berani dalam sejarah kerana mengambil tindakan tegas terhadap individu berpengaruh.

“Saya lihat dengan tekad politik kita dan kekuatan dalam SPRM, suruhanjaya ini telah menggegarkan negara dengan keberaniannya bertindak terhadap sesiapa sahaja yang didapati melanggar undang-undang,” katanya pada Majlis Sambutan ulang tahun SPRM ke-58 dan pelancaran Keep Malaysia Clean.

Perdana menteri turut mengucapkan tahniah kepada SPRM atas tindakan menyeluruh dan berani badan itu terhadap pelaku rasuah tanpa mengira kedudukan mereka.

“Mana pernah dalam sejarah SPRM bertindak sebegitu berani terhadap pembesar-pembesar yang paling berpengaruh. Dulu ada sekali sekala seorang menteri, menteri besar pun ada (didakwa rasuah).

“Tetapi suatu tindakan menyeluruh, teliti dengan berani dan sedia mengambil risiko, belum pernah dalam sejarah saya baca sejak 1957,” katanya.

“Ini dilakukan oleh SPRM yang kami banggakan dan saya ‘salute’ kepada keberanian (SPRM)”.

Anwar turut menegaskan hanya dengan ketegasan sebegitu integriti negara dapat dipulihkan daripada ketirisan dan rasuah.

“Ini sahaja cara manusia dan negara boleh bangkit semula. Hebat dan kaya seperti mana sekali pun tidak mungkin dapat bertahan kalau ketirisan berlaku dan rasuah terus menular,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.