
Semalam, Wan Saiful sebelum ini berkata Azmin tidak layak memimpin parti selagi kontroversi berhubung sebuah video 2019, yang didakwa memaparkan bekas menteri itu terlibat dalam perbuatan songsang, masih belum diselesaikan.
Ketua Bersatu Johor Sharuddin Jamal berkata perkara itu wajar segera ditangani jawatankuasa disiplin bagi mengekalkan keyakinan terhadap kredibiliti parti.
“Sebagai sebuah organisasi politik yang berpegang pada prinsip tertib dan etika, sebarang pelanggaran disiplin atau kelakuan yang mencemar imej parti tidak boleh dipandang ringan.
“Jawatankuasa disiplin mesti bertindak segera untuk mengekalkan keyakinan ahli dan orang ramai terhadap ketegasan serta kewibawaan parti,” katanya dalam kenyataan.
Sharuddin turut memberi jaminan sokongan penuh Bersatu Johor terhadap Presiden Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin parti serta Perikatan Nasional (PN).
“Kami yakin kepimpinan beliau yang berwibawa, amanah dan berwawasan mampu mengemudi parti menghadapi cabaran semasa serta menyelesaikan isu yang timbul,” tambahnya.
Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris turut menyuarakan desakan sama, sambil menegaskan prosiding perlu dijalankan dengan telus, adil dan mengikut peraturan sedia ada bagi memastikan Bersatu kekal kukuh dan dihormati.
“Sebarang kelewatan atau kelonggaran dalam menangani isu seperti ini hanya akan merosakkan integriti parti di mata ahli dan orang ramai,” katanya.
Razali juga menegur pemimpin yang mengeluarkan kenyataan terbuka sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan Bersatu.
“Sebarang rasa tidak puas hati atau pembelaan perlu dibangkitkan melalui saluran yang betul, iaitu prosiding di hadapan jawatankuasa disiplin, bukan melalui sidang media atau kenyataan terbuka yang melemahkan imej parti,” katanya.