Anwar tekad bersih rasuah libat ‘jerung’ 3 tahun lagi

Anwar tekad bersih rasuah libat ‘jerung’ 3 tahun lagi

Perdana menteri sifatkan mereka cukup berpengaruh dan punya sumber kuat biaya media sosial dan parti politik.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, usaha banteras rasuah ‘jerung’ lebih mencabar walaupun mereka tidak lagi berkuasa.  (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan sasaran membersihkan segala kes rasuah dan salah guna kuasa dalam tempoh dua hingga tiga tahun, terutama melibatkan ‘jerung besar’ yang disifatkannya punya sumber yang kuat.

Anwar berkata, pemimpin atasan atau ‘jerung’ itu mampu membiayai media sosial, parti politik, dan media.

“Kalau tengok keutamaan pada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) adalah jerung dulu, tetapi tidak bermakna harus dibiarkan ikan bilis merayap … (cuma) pengalaman kita jerung itu lebih mencabar,” katanya menurut Berita Harian.

“Saya fikir kalau kita tuntas, bersihkan dan banteras rasuah untuk tolong rakyat, semua orang (akan) sokong. Tetapi (ini) tidak (berlaku), kerana tidak semua sokong. Ini kerana walaupun dia tidak lagi berkuasa, namun dia ada mempunyai kuasa, pengaruh, dan dananya besar.”

Beliau berkata demikian ketika Forum Ilmuwan Malaysia Madani bertajuk “Integriti dan Kepimpinan Nasional: Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistematik” di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau dituduh berdendam di Parlimen apabila SPRM bertindak menyiasat kes rasuah.

“Sebab itu kalau di Parlimen, apabila kita berbahas, tiada yang bangkit. Bahkan ada beberapa Ahli Parlimen yang hanya mempertahankan … (dituduh) apa pasal dendam, kenapa hendak bangkitkan dan sebagainya.

“Saya kata tidak, kalau ada bukti, itu terserah pada SPRM siasat (dan biarkan) hakim memutuskan. Bukan urusan saya,” katanya.

Terdahulu, perdana menteri berkata, mana-mana individu yang pernah menyandang jawatan tinggi dalam kerajaan termasuk menteri tetap akan diburu dan dibawa ke muka pengadilan, jika terbukti mengamalkan rasuah.

“Saya kata kalau boleh, dalam dua tiga tahun ini, ‘we clean up the mess’,” katanya.

“Mesejnya jelas, dulu (kamu) menteri ke, KSU (ketua setiausaha) ke, KP (ketua pengarah) ke, kalau nampak salah laku, ‘we’ll go after you’.

“Kalau bukan hari ini, esok, (kalau) bukan esok, tahun depan. Anda pencen pun (kalau) kita dapat bukti anda curi semasa berkuasa, kita akan cari. Itu tekad saya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.