9 ditahan berkait kes ‘mat rempit’ kepung, tendang Myvi

9 ditahan berkait kes ‘mat rempit’ kepung, tendang Myvi

Polis berkata semua suspek ditahan di Puchong dan Shah Alam, dan tiga motosikal juga dirampas.

myvi dikepung mat rempit
Dalam kejadian tular itu, sekumpulan penunggang motosikal dilihat mengekori sebelum menendang sebuah kereta Myvi berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong.
PETALING JAYA:
Polis menahan sembilan lelaki kerana disyaki terbabit dalam satu video tular kejadian kumpulan penunggang motosikal mengepung dan menendang sebuah kereta Myvi berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong.

Ketua Polis Serdang Muhamad Farid Ahmad berkata semua suspek termasuk remaja berusia 13 hingga 21 tahun itu ditahan di Puchong dan Shah Alam. Katanya, tiga motosikal juga dirampas.

“Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi ini untuk mendapatkan perintah reman,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Farid berkata polis memburu kira-kira 20 penunggang motosikal yang mengepung dan menendang sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun.

Dalam video yang tular itu, sekumpulan penunggang motosikal dilihat mengekori dan mengepung sebuah kereta di lebuh raya berkenaan.

Seorang penunggang motosikal juga dilihat menumbuk tingkap dan menendang cermin sisi kenderaan itu hingga patah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.