SPRM tumpas sindiket seludup tayar, beku akaun RM70 juta

SPRM tumpas sindiket seludup tayar, beku akaun RM70 juta

Serbuan Op Grip di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor diketuai Bahagian Operasi Khas SPRM bersama LHDN, BNM dan Kastam.

macc sprm
SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba kaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import/eksport, yang dipercayai menyebabkan kerajaan rugi hasil cukai dianggarkan sekitar RM350 juta sejak 2020 hingga 2025.

Menurut sumber, serbuan Op Grip di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor hari ini, dijalankan ke atas syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan mengimport tayar, gudang dan kontena penyimpanan tayar.

Op Grip diketuai Bahagian Operasi Khas SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam.

Hasil serbuan itu, SPRM membekukan akaun bank persendirian dan syarikat, melibatkan nilai dianggarkan kira-kira RM70 juta.

Sumber berkata, siasatan juga turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki diperoleh oleh sama ada pegawai kastam atau syarikat-syarikat pengimport tayar melalui kegiatan pengubahan wang haram.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengesahkan serbuan tersebut berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.