
Pada sesi hari ini, tiga jurubahasa bergilir-gilir membacakan 135 pertuduhan terhadap Nora Idayu Jaafar, 48, dalam prosiding yang berlangsung selama dua jam tanpa henti.
Nora, yang berdiri di kandang tertuduh mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan.
Dia yang kelihatan keletihan di pertengahan sesi, mendorong peguamnya, Daniel Annamalai, memohon agar mahkamah membenarkannya duduk.
Tertuduh pertama kali didakwa pada awal Jun, namun mahkamah menangguhkan kes tersebut selepas dia pengsan ketika pertuduhan ke-90 dibacakan kepadanya.
Pada 26 Jun, mahkamah mengarahkannya menjalani penilaian psikiatri selepas Daniel membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan kesihatannya.
Pada hari sama, Nora mengaku tidak bersalah terhadap 132 pertuduhan dibacakan kepadanya.
Minggu lalu, mahkamah memutuskan bahawa dia layak dibicarakan, susulan laporan Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan mengesahkan Nora berada dalam keadaan waras serta sepenuhnya sedar mengenai sifat dan akibat tindakannya pada masa kesalahan didakwa itu berlaku.
Nora didakwa mengubah sistem pengurusan pelanggan Astro untuk menukar akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 2013 dan 2020 di pejabat Astro di Menara Icon, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997, yang membawa hukuman maksimum denda RM100,000, penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman, mewakili pihak pendakwaan.
Prosiding di hadapan Hakim Suhaila Haron akan bersambung esok dan Rabu.