Mahkamah akhirnya selesai baca 743 pertuduhan terhadap bekas staf Astro

Mahkamah akhirnya selesai baca 743 pertuduhan terhadap bekas staf Astro

Nora Idayu Jaafar didakwa ubah suai sistem pangkalan data dengan menukar akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat antara 2013 hingga 2020.

kl high court
Pertuduhan itu dibuat bawah Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997, memperuntukkan hukuman maksimum denda RM100,000, penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen akhirnya selesai membacakan keseluruhan 743 pertuduhan mengubah suai sistem pangkalan data tanpa kebenaran terhadap seorang bekas pekerja Astro, empat bulan selepas dia pertama kali dihadapkan ke mahkamah.

Nora Idayu Jaafar, 48, mengaku tidak bersalah terhadap baki 123 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron pagi ini, menjadikan keseluruhan 743 pertuduhan telah dibacakan sepanjang lima prosiding sejak Jun lalu.

Nora didakwa mengubah sistem pengurusan pelanggan Astro dengan menukar akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat antara 2013 hingga 2020, di pejabat syarikat itu di Menara Icon, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000, penjara maksimum tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Nora diikat jamin RM32,000, selain memerintahkan pasportnya diserahkan, dan menetapkan 18 Nov bagi sebutan semula kes.

Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman, berkata pihak pendakwaan berhasrat memanggil 35 saksi.

Nora pertama kali didakwa pada awal Jun, namun prosiding terhenti selepas dia pengsan ketika pertuduhan ke-90 dibacakan.

Peguam Nora, Daniel Annamalai, kemudian membangkitkan kebimbangan mengenai tahap kesihatannya, menyebabkan mahkamah memerintahkan penilaian psikiatri dijalankan.

Namun, laporan dari Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan mengesahkan dia berada dalam keadaan waras dan sedar sepenuhnya terhadap tindakannya ketika kesalahan didakwa berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.