Hadi bidas jemputan Trump ke Malaysia, dakwa ‘sekutu kezaliman Israel’

Hadi bidas jemputan Trump ke Malaysia, dakwa ‘sekutu kezaliman Israel’

Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut melabel Donald Trump sebagai syaitan besar kerana cuba menggoda pemimpin Islam.

Hadi Awang menuduh Donald Trump cuba ‘menggoda’ pemimpin Islam dan Arab untuk tunduk kepada dasar Amerika Syarikat.
PETALING JAYA:
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengkritik jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Malaysia bulan depan, dengan mendakwa pemimpin itu terbukti bersekongkol dengan Israel melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Hadi berkata Trump secara terang-terangan memberi sokongan ketenteraan kepada Israel, malah menggunakan kuasa veto AS untuk menolak keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menyabitkan jenayah rejim Zionis itu.

“Trump bukan sahaja membantu dengan senjata, malah turut menghalalkan penggunaan senjata yang diharamkan undang-undang antarabangsa bagi menghancurkan Gaza,” katanya dalam tulisan Minda Presiden PAS.

Menurut Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, puluhan ribu kanak-kanak, wanita, warga emas, pesakit hospital serta petugas bantuan kemanusiaan terbunuh akibat serangan Israel, dengan sokongan berterusan daripada Washington di bawah pentadbiran Trump.

Sambil melabelnya sebagai ‘syaitan besar’, Ahli Parlimen Marang itu turut mengecam langkah Trump memaksa Palestin menerima penyelesaian dua negara melalui tawaran bantuan kewangan.

Beliau turut menuduhnya cuba ‘menggoda’ pemimpin Islam dan Arab untuk tunduk kepada dasar AS.

“Alasan menjemput Trump kerana mahu meramaikan kawan sangat rapuh dan tidak boleh diterima akal yang sihat, khususnya ketika dunia, termasuk rakyat Amerika sendiri, mula memulaukan Israel,” katanya.

Hadi menegaskan Malaysia perlu berhati-hati memilih rakan antarabangsa, dengan mengingatkan umat Islam tidak condong kepada golongan zalim yang boleh membawa padah kepada negara.

Sabtu lalu, Anwar menempelak pihak mempertikaikan jemputan kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 dari 26 hingga 28 Okt.

Trump telah mengesahkan kehadirannya dalam perbualan telefon dengan Anwar pada Julai lalu.

Menurut Anwar, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Palestin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.