
Inisiatif BUDI95 mula dilaksanakan pada Sabtu lepas, dengan kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menjadi kumpulan peringkat pertama menikmati harga petrol bersubsidi, berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter.
Ini diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) semalam, seterusnya diperluas kepada semua rakyat Malaysia esok.
Orang ramai boleh membeli 300 liter minyak RON95 sebulan pada harga subsidi itu menerusi tiga langkah mudah:
1. Semak kelayakan di portal www.budimadani.gov.my atau aplikasi terpilih.
2. Buat pengesahan dengan MyKad di stesen minyak dan bayar mengikut kaedah pilihan.
3. Mulakan pengisian minyak dalam kenderaan.
Sementara itu, warga asing yang memandu kenderaan dengan nombor pendaftaran Malaysia perlu membayar harga minyak mengikut harga pasaran yang akan ditentukan kerajaan setiap bulan, bermula RM2.60 pada Oktober.
Inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang beralih daripada dasar subsidi pukal kepada subsidi bersasar, bertujuan memastikan kebajikan rakyat kekal terpelihara, selain mencerminkan pendekatan kerajaan Madani dalam menangani ketirisan dan penyeludupan RON95.
Selain di kaunter dan platform dalam talian, orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan di 1300-88-9595 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai BUDI95.