Penguat kuasa terlibat ‘counter setting’ akan diberi notis isytihar harta

Penguat kuasa terlibat ‘counter setting’ akan diberi notis isytihar harta

Terdahulu dilaporkan 30 individu ditahan dan 27 daripada mereka membabitkan 18 pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat dan tiga orang awam.

AZAM BAKI
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata suspek ditahan sebelum ini akan diberi notis Seksyen 36 Akta SPRM (ASPRM) 2008 bagi tujuan perisytiharan harta.
PETALING JAYA:
Pegawai penguat kuasa terbabit sindiket ‘counter setting’ di pintu masuk negara akan diberi notis bagi tujuan perisytiharan harta susulan rampasan dan sitaan emas, kenderaan mewah, wang tunai dan akaun bank.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berkata suspek ditahan sebelum ini akan diberi notis Seksyen 36 Akta SPRM (ASPRM) 2008 bagi tujuan perisytiharan harta.

Katanya, siasatan juga akan memberi fokus mengesan dan merampas aset diperolehi melalui hasil jenayah.

“Buat masa sekarang siasatan masih lagi berjalan bagi mendapatkan keterangan ke arah pertuduhan mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17 ASPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“Hasil siasatan dijalankan juga mendapati selain ada yang membuka kedai emas dan membeli emas, ada juga pegawai penguat kuasa dikesan menggunakan akaun proksi bagi pembayaran dan penyimpanan wang rasuah,” katanya menurut Harian Metro.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 617 unit emas, kenderaan mewah, wang tunai dan akaun bank disita serta dibekukan membabitkan lebih RM9 juta susulan penahanan pegawai penguat kuasa terbabit sindiket ‘counter setting’.

Sebanyak 617 unit emas merangkumi jongkong dan pelbagai barang kemas termasuk cincin, gelang tangan, rantai leher, rantai kaki, subang dan loket disita.

Jumlah keseluruhan berat emas disita dianggarkan mencecah 3.35kg dengan nilai mencecah hampir RM2.26 juta.

Selain itu, SPRM turut menyita 15 kenderaan mewah antaranya Toyota Alphard, Mercedes Benz, BMW dan Audi bernilai keseluruhan dianggarkan hampir RM1.82 juta.

Sebanyak 126 akaun bank dibekukan terdiri 82 akaun individu dan 20 akaun syarikat bernilai hampir RM 4.4 juta, sitaan wang tunai pula hampir RM800,000.

Terdahulu, dilaporkan seramai 30 individu ditahan dan 27 daripada mereka membabitkan 18 pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat dan tiga orang awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.