Gerakan mesti jawab kritikan PAS atau berisiko hilang sokongan, kata ketua Pemuda

Gerakan mesti jawab kritikan PAS atau berisiko hilang sokongan, kata ketua Pemuda

Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Tan Zhen Zune berkata, partinya mesti tunjuk kepada bukan Islam ia boleh jadi suara pengimbang dalam PN.

Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Tan Zhen Zune berkata, sukar untuk jawab kritikan PAS apabila diminta menahan diri daripada keluar kenyataan.
GEORGE TOWN:
Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Tan Zhen Zune berkata, parti itu tidak seharusnya berdiam diri apabila berdepan kenyataan sinis daripada pemimpin PAS.

Katanya, sukar untuk membalas kenyataan mereka apabila diminta untuk menahan diri, sedangkan pemimpin PAS terus bebas bersuara.

“Dan apabila (ahli Gerakan) lihat parti berdiam diri, mereka hilang keyakinan terhadap kita. Daripada salahkan PAS, kita mesti jadikan perkara ini sebagai kekuatan kita,” katanya pada mesyuarat agung tahunan Gerakan negeri.

“Kita mesti tunjukkan kepada bukan Islam bahawa Gerakan boleh jadi suara pengimbang dalam Perikatan Nasional (PN). Itulah satu-satunya cara untuk dapatkan kembali kepercayaan mereka.”

Dalam Muktamar PAS baru-baru ini, beberapa perwakilan termasuk Ketua Pemuda Pulau Pinang Hafis Alias mengkritik Gerakan.

Hafis mendakwa Ketua PN Pulau Pinang Dominic Lau, yang juga presiden Gerakan, lemah dari segi kepemimpinan dan gagal menyatukan Bersatu serta PAS pada peringkat negeri.

Tan hari ini berkata, Gerakan wajar mengkaji semula strategi pilihan raya di Pulau Pinang, memandangkan parti itu sudah dua kali tewas di bawah panji PN dan mungkin perlu bertanding semula atas tiket sendiri.

Beliau turut khuatir tentang perubahan had umur belia negara, yang akan diturunkan daripada 40 kepada 30 tahun tahun depan.

Katanya, jika Gerakan menerima pakai perubahan ini, banyak negeri akan menghadapi kesukaran mengekalkan sayap Pemuda.

Justeru, sebagai penyelesaian, parti itu mesti berusaha lebih gigih untuk menarik ahli muda yang baharu dan mendekati semula ahli-ahli yang sudah tidak aktif.

Tan turut mengkritik slogan baharu Gerakan, ‘Chai Yok’, yang disifatkannya sebagai janggal dan mengelirukan.

“Bagi orang Cina, terutamanya yang bertutur dalam dialek Hokkien dan Teochew, ia kedengaran seperti ‘jiak eok’, yang bermaksud ‘makan ubat’,” katanya.

“Dan apabila anda makan ubat, ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan anda. Slogan sepatutnya beri inspirasi, bukannya buatkan orang ketawa atau tertanya-tanya maksudnya.”

Istilah tersebut ialah ungkapan galakan yang lazim dalam bahasa Cina, biasanya dieja dalam pinyin sebagai ‘jia you’, yang bermaksud ‘tambah minyak’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.