Bedah siasat kadet UTM diselia pakar, kata KKM

Bedah siasat kadet UTM diselia pakar, kata KKM

KKM tegas semua bedah siasat forensik dijalankan di bawah seliaan pakar, selaras dengan prosedur yang ditetapkan.

kkm
Menurut KKM, mayat Syamsul Haris Shamsudin dibawa ke HSI yang mempunyai fasiliti lengkap bagi membolehkan pemeriksaan rapi dan terperinci dijalankan.
PETALING JAYA:
Bedah siasat pertama ke atas pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Syamsul Haris Shamsudin dijalankan mengikut prosedur forensik yang ditetapkan, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Kenyataan itu menyusuli persoalan yang dibangkitkan oleh keluarga kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) itu mengenai mengapa bedah siasat pertama dikendalikan oleh pegawai perubatan, bukannya pakar forensik.

“Walaupun bedah siasat dilakukan oleh pegawai perubatan, semua kes bedah siasat forensik sentiasa berada di bawah pemantauan pakar patologi forensic,” menurut KKM dalam kenyataan.

Kementerian turut menegaskan komitmen memastikan setiap prosedur bedah siasat dilaksanakan secara profesional, berintegriti, dan selaras dengan sains perubatan bagi menjamin keadilan serta ketelusan dalam setiap siasatan.

Semalam, peguam keluarga Syamsul, Naran Singh memaklumkan bahawa surat rasmi telah diutuskan kepada pengarah Hospital Kota Tinggi dan pakar forensik di Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Menurutnya, ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap pengendalian prosedur itu oleh seorang pegawai perubatan sebaik mayat anaknya tiba di Hospital Kota Tinggi pada 29 Julai lepas.

Tambahnya, selepas mayat dipindahkan ke HSI yang terletak kira-kira 30km dari situ, bedah siasat tetap dijalankan oleh pegawai perubatan yang sama.

Kementerian menjelaskan, selepas kes itu dirujuk kepada pakar patologi forensik, mayat kadet itu dibawa ke HSI yang mempunyai fasiliti lengkap bagi membolehkan pemeriksaan rapi dan terperinci dijalankan.

“(Bedah siasat) dilakukan oleh pegawai perubatan di Jabatan Perubatan Forensik HSI, dan bukan oleh pegawai perubatan Hospital Kota Tinggi seperti didakwa,” katanya.

Syamsul, anak sulung daripada tiga beradik, meninggal dunia pada 28 Julai ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor.

Kadet berusia 22 tahun itu mula menjalani latihan pada 26 Julai dan sepatutnya tamat pada 3 Ogos.

Pada 26 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan jenazah Syamsul digali semula bagi tujuan bedah siasat kali kedua.

Laporan bedah siasat kedua itu kini masih ditunggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.