
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebagai contoh, di Sabah hampir 10,000 MyKad sudah diganti sejak Jabatan Pendaftaran Negara mengumumkan program penggantian cip rosak secara percuma sehingga 7 Okt.
Beliau berkata kebiasaannya hanya sekitar 1,000 MyKad ditukar setiap hari di seluruh negara, iaitu kira-kira 30,000 sebulan.
“Di Sabah, kebiasaannya penggantian seluruh negeri sekitar angka biasa. Sejak saya umumkan sehingga hari ini, yang sudah menggantikan MyKad hampir 10,000.
“Ini menunjukkan mereka sedar penggunaan MyKad untuk membezakan rakyat Malaysia dan bukan warganegara adalah sesuatu yang penting bagi membantu menjayakan dasar subsidi bersasar,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu.
Saifuddin berkata walaupun KDN kehilangan hasil sebanyak RM714,000 namun pihaknya bangga menjadi agensi bersama melaksanakan BUDI95.
“BUDI95 hanya untuk rakyat Malaysia, tidak kira kaya atau miskin. Kalau bukan rakyat Malaysia, mereka perlu membeli pada harga pasaran,” katanya.
Menerusi BUDI95, harga RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter dan dinikmati semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah, dengan pengesahan dilakukan menggunakan MyKad.
Anggota tentera dan polis akan menerima manfaat itu lebih awal bermula esok, diikuti sembilan juta golongan B40 yang terdiri daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada Ahad sebelum diperluas kepada pengguna lain mulai 30 Sept.
Selain di kaunter, orang ramai juga boleh melayari portal khas www.budimadani.gov.my, TNG e-Wallet atau aplikasi syarikat minyak untuk semakan kelayakan dan baki subsidi menerusi BUDI95.
Orang ramai boleh menghubungi talian bantuan di 1300-88-9595 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Budi Madani.