30,000 transaksi seminit bawah BUDI95, kata Anwar

30,000 transaksi seminit bawah BUDI95, kata Anwar

Perdana menteri berkata kapasiti pelayan program Budi Madani RON95 jauh lebih besar daripada inisiatif Sumbangan Asas Rahmah.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada perhimpunan bulanan warga Kementerian Kewangan di Putrajaya.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata kapasiti pelayan lebih besar membolehkan lebih 30,000 transaksi dilakukan setiap minit bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Menteri kewangan berkata, ia 10 kali ganda lebih pantas daripada pelayan yang digunakan untuk program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“SARA hanya memproses 3,000 transaksi seminit, tetapi pelayan BUDI95 dapat memproses lebih 10 kali ganda melebihi 30,000 transaksi seminit,” katanya pada perhimpunan bulanan warga Kementerian Kewangan di sini.

Menerusi BUDI95, semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter.

Anwar berkata, BUDI95 dilancarkan secara berperingkat, dengan 300,000 anggota tentera dan polis akan menerima manfaat itu bermula esok, diikuti 5 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Ahad ini dan 16 juta rakyat Malaysia pada 30 Sept nanti.

Menurutnya, kerajaan mampu melaksanakan BUDI95 hasil pengurusan kewangan lebih baik, tadbir urus lebih kukuh dalam agensi kerajaan dan mengurangkan ketirisan.

Katanya, ia hasil daripada pembaharuan, proses tender lebih ketat, usaha membendung rasuah dan menambah baik kutipan cukai.

“Kita perlu bermula dengan memahami bukan semua negara mampu meneruskan program subsidi bagi mengurangkan beban rakyat.”

Beliau mengakui berdepan cabaran dalam menangani rasuah dan ketirisan di beberapa kementerian serta agensi, tetapi pelakunya tidak mewakili majoriti penjawat awam.

“Tidak adil jika dirumuskan seolah-olah seluruh penjawat awam berada pada tahap ‘mediocre’.

“Kebanyakan penjawat awam berdedikasi dan menunjukkan pencapaian. Pertumbuhan dan pelaburan negara hasil usaha keseluruhan jentera kerajaan.”

Katanya, langkah rasionalisasi subsidi kerajaan dan bantuan tunai bersasar kepada golongan memerlukan hanya dapat dilaksanakan atas dedikasi pegawai Perbendaharaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam serta badan penguatkuasaan lain.

“Kita mesti sedar kejayaan ini datang daripada pengorbanan penjawat awam di semua peringkat, yang bekerjasama dengan sektor swasta dan profesional.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.