Belanjawan 2026: Elak projek pengangkutan ‘hebat’, kerajaan diberitahu

Belanjawan 2026: Elak projek pengangkutan ‘hebat’, kerajaan diberitahu

Wan Agyl Wan Hassan berkata Putrajaya patut fokus dana kepada pelaburan mudah yang mampu memperbaiki kehidupan harian dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

bus stop
Wan Agyl Wan Hassan mahu kerajaan membaiki akses pengangkutan awam yang disifatkan mampu mengubah kehidupan seharian pengguna. (Gambar Wikimedia Commons)
PETALING JAYA:
Menjelang pembentangan Belanjawan 2026, seorang pakar pengangkutan menggesa kerajaan lebih cenderung memilih pelaburan berimpak tinggi berbanding projek mega mahal dalam sektor itu.

Wan Agyl Wan Hassan berkata, inisiatif berskala kecil yang menggalakkan penggunaan pengangkutan awam mampu membawa perubahan kepada pengguna.

Wan Agyl Wan Hassan
Wan Agyl Wan Hassan.

“Saya ingin melihat fokus belanjawan beralih daripada projek besar tampak indah kepada perkara kecil yang mampu mengubah kehidupan harian – pelaburan mudah seperti laluan pejalan kaki berbumbung, lintasan lebih selamat dan keterhubungan hujung ke hujung boleh dipercayai,” kata pengasas badan pemikir pengangkutan, My Mobility Vision itu kepada FMT.

“Kawasan kediaman baharu dan pusat beli-belah tidak patut diluluskan, kecuali dihubungkan dengan pengangkutan awam. Anda tidak sepatutnya memerlukan kereta hanya untuk membeli barang dapur atau ke tempat kerja.”

Wan Agyl berkata, kelemahan akses pengangkutan awam memaksa ramai rakyat mengeluarkan lebih banyak wang untuk perjalanan seharian.

Beliau menggesa belanjawan dilabur dalam menyediakan rakyat dengan lebih banyak pilihan pengangkutan mampu milik dan boleh dipercayai, seperti bas serta van perkhidmatan atas permintaan, termasuk bandar kecil di luar Lembah Klang.

Bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat itu juga menyifatkan keselamatan jalan raya “krisis negara”, dengan memetik kajian menunjukkan seorang penunggang motosikal maut setiap dua jam di jalan raya Malaysia.

“Faktor wow sebenar bukanlah pada satu lagi lebuh raya mega atau projek hebat. Ia terletak pada belanjawan yang menjanjikan setiap rakyat Malaysia dapat berjalan dengan selamat ke hentian bas atau berbasikal ke sekolah tanpa rasa takut.

“Bayangkan pengumuman dalam tempoh lima tahun, setiap penduduk bandar dapat hidup dalam lingkungan 500m yang mempunyai akses selamat dan berteduh ke pengangkutan awam. Itu sesuatu yang berani, berwawasan dan pasti mengubah kehidupan.”

Pentingkan rel, bukan jalan raya

Perunding pengangkutan, Rosli Khan menggesa Putrajaya meningkatkan pengangkutan rel berbanding jalan raya, terutama dengan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.

Rosli Azad Khan
Rosli Khan.

Katanya, sejumlah dana patut disalurkan ke arah memperluaskan infrastruktur rel, termasuk penghubungan dengan pelabuhan bagi memudahkan dan menggalakkan pergerakan kargo melalui rel berbanding jalan raya.

“Terlalu banyak pelaburan ke atas jalan raya kita, tetapi orang ramai terus berdepan kesukaran. Kesesakan masih tidak selesai, kadar kemalangan terlalu tinggi dan jumlah lori berat begitu banyak mengakibatkan nahas maut serta kerosakan jalan yang mahal.”

Rosli yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam sektor itu berkata, satu kekurangan besar adalah ketiadaan pintasan rel khusus ke dan dari Pelabuhan Klang.

Ketika ini, katanya, semua kereta api kargo perlu melalui KL Sentral yang mengakibatkan kesesakan pergerakan kargo, lebih-lebih lagi ia hanya dibenar menggunakan laluan KL Sentral dari 12 pagi hingga 6 pagi.

ktm cargo train
Kesesakan kargo di KL Sentral memaksa kebanyakan pengangkutan barangan menggunakan lebuh raya, mengakibatkan nahas maut dan kerosakan jalan, kata Rosli Khan. (Gambar KTMB)

“Tempoh enam jam ini sangat tidak mencukupi. Ia melumpuhkan kapasiti Keretapi Tanah Melayu Bhd dan memaksa kebanyakan pengangkutan kargo menggunakan lebuh raya.

“Laluan pintasan rel ke Pelabuhan Klang dari utara dan selatan amat penting dan perlu, bukan saja untuk sektor rel, tetapi juga ekonomi secara umumnya serta daya saing negara bagi jangka panjang.”

Beliau berkata, mengalihkan lebih ramai pengguna dan kargo daripada jalan raya ke laluan rel juga dapat mengurangkan kemalangan maut di jalan raya, selain meredakan kesesakan lalu lintas sambil memacu sektor logistik.

Menurutnya, Putrajaya patut memperuntukkan dana mencukupi ke arah kajian komprehensif cara mengintegrasi perkhidmatan rel penumpang dan kargo bagi mengurangkan pertindihan serta memaksimumkan kecekapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.