Kelantan sokong semak undang-undang rogol bawah umur libat suka sama suka

Kelantan sokong semak undang-undang rogol bawah umur libat suka sama suka

Timbalan MB berkata, tidak adil jika hanya pihak lelaki dipersalah dalam perbuatan zina secara sukarela.

Mohamed Fadzli Hassan
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan berkata, jika pihak perempuan terlepas, seolah-olah tiada peringatan kepada mereka sedangkan perbuatan zina dipersetujui bersama. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Cadangan Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat supaya tindakan undang-undang dikenakan terhadap kedua-dua pihak dalam kes rogol bawah umur melibatkan hubungan suka sama suka wajar diteliti, menurut kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan berkata, tidak adil jika hanya pihak lelaki dipersalah dalam perbuatan zina yang dilakukan secara sukarela bersama pihak perempuan.

“Cadangan ini menunjukkan ketua polis Kelantan mengambil berat isu berkenaan, dan kita juga memandangnya dengan serius … dalam hal zina bawah umur secara rela, pihak perempuan juga perlu bertanggungjawab.

“Kalau pihak perempuan dilepaskan begitu sahaja, seolah-olah tiada peringatan kepada mereka sedangkan perbuatan zina itu dipersetujui bersama … kelonggaran ini dibimbangi menyebabkan kes berulang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Beliau mencadangkan agar kerajaan persekutuan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji cadangan itu supaya pasangan yang terlibat dapat dikenakan tindakan sewajarnya.

“Hukuman itu tidak semestinya berbentuk jenayah tetapi lebih kepada pengajaran dan pendidikan kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Mohamed Fadzli juga berkata, dalam kes zina bawah umur, lazimnya pihak lelaki akan berdepan tuduhan rogol jika berusia lebih 16 tahun sedangkan pihak perempuan terlepas.

“Sebab itu, kita berpendirian kedua-dua pihak sama ada lelaki atau perempuan perlu bertanggungjawab… kerajaan negeri menyokong apa yang disebut oleh ketua polis Kelantan.

“… ia bukan bermaksud menghukum semata-mata tetapi mendidik agar tindakan tidak hanya dikenakan kepada sebelah pihak,” katanya.

Isnin lepas, Mohd Yusoff mencadangkan agar undang-undang sedia ada diteliti semula, khususnya dalam kes hubungan seksual bawah umur secara suka sama suka, supaya tindakan tidak hanya diambil terhadap pelaku lelaki sahaja.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kenyataan Mohd Yusoff itu pandangan peribadi yang lahir daripada kebimbangan terhadap angka dan statistik kes seksual di Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.