Larang kenderaan asing beli RON95 kekal

Larang kenderaan asing beli RON95 kekal

Kenderaan nombor pendaftaran asing hanya boleh beli RON97.

SHELL
Kenderaan nombor pendaftaran asing dilarang beli RON95 walaupun harga diapungkan.
PETALING JAYA:
Kerajaan mengekalkan larangan membeli petrol RON95 bagi kenderaan nombor pendaftaran asing walaupun harga bahan api itu diapungkan untuk golongan yang tidak layak menerima subsidi.

“Mereka hanya boleh beli RON97 sepertimana ketetapan peraturan sedia ada,” kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, lapor Bernama.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan harga RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa 30 Sept melalui penyasaran subsidi bawah program BUDI95.

Menurut Anwar, semua warganegara memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Pendaftaran Negara.

Dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi itu.

Amir Hamzah turut menjelaskan warga asing bermastautin dan membawa kereta nombor pendaftaran di Malaysia boleh membeli RON95 pada harga pasaran yang akan ditentukan pada hujung bulan.

Kerajaan menyediakan portal www.budimadani.gov.my yang akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 9 pagi, Khamis ini bagi memudahkan semakan profil serta baki penggunaan kelayakan bulanan.

Pemandu e-panggilan juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka di portal terbabit.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BUDI MADANI di nombor 1300-88-9595.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.