Tunai MA63 sebelum bincang perjanjian baharu, kata menteri Sarawak

Tunai MA63 sebelum bincang perjanjian baharu, kata menteri Sarawak

Jeffrey Kitingan dari Sabah turut menyokong lebih banyak kuasa persekutuan diturunkan kepada negeri lain, tetapi perjanjian asal perlu ditunaikan terlebih dahulu.

Abdul Karim Rahman Hamzah Jeffrey Kitingan
Pemimpin dari Malaysia Timur Abdul Karim Rahman Hamzah dan Jeffrey Kitingan menolak cadangan rundingan semula Perjanjian Malaysia 1963.
PETALING JAYA:
Seorang menteri Sarawak menolak cadangan lima kumpulan masyarakat sivil berunding Perjanjian Malaysia baharu antara Putrajaya, Sabah dan Sarawak bagi menurunkan kuasa kepada negeri Borneo.

Abdul Karim Rahman Hamzah dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, tiada keperluan untuk perjanjian sedemikian dirunding dan dimeterai kerana fokus perlu diberikan bagi memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang asal.

Tetapi, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan yang lebih terbuka kepada rundingan semula MA63, berkata cadangan itu boleh dipertimbangkan selepas MA63 yang asal ditunaikan sepenuhnya.

Karim memberitahu FMT, MA63 dirangka hasil perbincangan pemimpin negara terdahulu, tetapi hak Sabah dan Sarawak terhakis sepanjang beberapa dekad.

“Nenek moyang kita dan mereka yang menulis perjanjian itu telah membincangkan hak, perlindungan serta kepentingan pelbagai negeri dan wilayah yang membentuk Malaysia.

“Pemimpin Malaysia selepas itu bertanggungjawab memastikan harapan dan hak pelbagai negeri serta wilayah dihormati, dan tidak menyimpang daripada niat asal perjanjian itu,” kata Karim yang juga ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, parti dominan dalam GPS.

Empat NGO dan sebuah badan pemikir mencadangkan Perjanjian Malaysia baharu yang digelar “MA63 Plus” dimeterai untuk mengembalikan autonomi kepada Sabah serta Sarawak sebagai wilayah khas.

Mereka bimbang persepsi semakin meningkat bahawa Putrajaya tidak komited memenuhi syarat MA63.

Mereka berkata, perjanjian dirundingkan semula itu perlu membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menjamin penurunan kuasa secara sah, bukannya konsesi pentadbiran atau pemindahan kuasa melalui keputusan menteri.

Negeri lain juga boleh bekerjasama dengan Sabah dan Sarawak untuk membincangkan lebih banyak kuasa diturunkan kepada semua negeri secara kolektif.

Karim percaya kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia juga perlu diberikan lebih banyak kuasa perundangan serta eksekutif, memandangkan negara mengamalkan prinsip federalisme.

“Putrajaya perlu memastikan pengagihan sumber fiskal yang saksama supaya tiada negeri ketinggalan. Ini harus diterapkan dalam tanggungjawab Putrajaya kepada negeri atau wilayah Borneo juga.”

Kitingan turut menyokong lebih banyak kuasa persekutuan diturunkan kepada kerajaan negeri, tetapi hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 perlu ditunaikan terlebih dahulu.

“Kuasa perundangan dan eksekutif Malaysia terlalu berpusat. Ini memperlahankan pertumbuhan negara, mewujudkan kos tidak perlu dan menggalakkan rasuah,” kata presiden Parti Solidariti Tanah Airku itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.