
Timbalan Ketuanya Mohd Hafez Sabri berkata bagi menjayakan perhimpunan itu, pihaknya akan menghantar surat jemputan rasmi kepada Umno serta parti politik lain.
Menurutnya, Pemuda PAS juga akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu masyarakat sivil bagi memperkukuh usaha menolak RUU berkenaan menerusi himpunan yang lokasinya bakal diumumkan kemudian.
“Penolakan dibuat kerana tiada penjelasan terperinci mengenai kandungan RUU PSB selain tiada keperluan diperkenalkan memandangkan akta sedia ada sudah mencukupi dan hanya perlu ditambah baik,” katanya pada sidang media.
RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar mampan.
Bagaimanapun, bacaan seterusnya, perbahasan dan pengundian ditangguhkan ke sidang Parlimen akan datang untuk mendapatkan maklum balas lebih lanjut.
Sebelum ini, himpunan membantah PSB dirancang oleh Pemuda PAS pada Jun lalu namun terpaksa ditangguhkan susulan penangguhan sidang Dewan Rakyat.
Ia sekali lagi ditunda dan digantikan dengan perhimpunan anjuran pembangkang pada 26 Jul lalu.
Hafez yang juga Adun Manjoi berkata pelbagai penyelesaian terhadap RUU PSB akan turut dibentangkan dalam himpunan berkenaan oleh pakar dan jurucakap dijemput memberi penerangan.
Hafez turut menyatakan kesediaan Pemuda PAS menyertai Konvensyen Melayu Bandar yang digerakkan Umno sekiranya menerima jemputan.
Awal bulan ini, Setiausaha Agung Umno berkata parti itu akan menganjurkan Konvensyen Melayu Bandar yang antaranya akan membincangkan langkah tambah baik PSB oleh pasukan khas diketuai Naib Presiden Johari Ghani.