
Kementerian Luar berkata, Malaysia secara konsisten memperjuangkan keamanan, keadilan serta menghormati Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta undang-undang antarabangsa, dan prinsip kewujudan bersama secara aman antara negara.
Menurutnya, prinsip asas ini menjadi teras dasar luar Malaysia sejak mencapai kemerdekaan.
“Selaras prinsip ini, Malaysia dengan tegas menentang penjajahan, pendudukan asing, pelanggaran serius undang-undang antarabangsa, termasuk hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan serta dasar aparteid,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sokongan teguh Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk keamanan, keadilan, kebebasan dan kemerdekaan serta menentang dengan keras pendudukan dan genosid dilakukan rejim Zionis Israel sejajar prinsip asas serta nilai sejagat yang diiktiraf komuniti antarabangsa.
Tegasnya, Malaysia akan terus bekerjasama secara konstruktif dengan masyarakat antarabangsa bagi mendapatkan keamanan serta keadilan, menyediakan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin dan akhirnya merealisasikan penubuhan Negara Palestin yang merdeka serta berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
“Malaysia turut menegaskan keadilan dan akauntabiliti sangat penting untuk menjamin keamanan berkekalan.
“Rejim Zionis Israel mesti dipertanggungjawabkan atas ketidakadilan ketara berterusan ke atas rakyat Palestin dan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa.”