MIC dijangka kekal dalam BN

MIC dijangka kekal dalam BN

Penganalisis berkata MIC semestinya sedar orang bukan Melayu tidak begitu tertarik dengan Perikatan Nasional.

mic
Jumaat lalu Timbalan Presiden M Saravanan berkata masa depan MIC akan diputuskan pada perhimpunan agung parti dijadual November.
PETALING JAYA:
MIC dijangka kekal dalam Barisan Nasional (BN) kerana tiada jaminan parti itu akan mendapat sokongan yang baik jika menyertai Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali, berkata MIC semestinya menyedari orang bukan Melayu tidak begitu tertarik dengan PN kerana elemen naratif Melayu Islam dibawa gabungan itu.

“Saya fikir kepimpinan MIC termasuk timbalan presiden sendiri masih ragu-ragu juga untuk membuat keputusan adakah akan keluar BN dan menyertai PN.

“Sebahagian ahli MIC sendiri sedar hal ini dan mereka akan buat keputusan kekal dalam BN,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Timbalan Presiden M Saravanan berkata masa depan MIC sama ada kekal dalam BN atau menerima pelawaan menyertai PN akan diputuskan pada perhimpunan agung parti dijadual November.

Saravanan mengakui, PAS dan Bersatu ada membuat pelawaan namun keputusan akhir bergantung kepada sokongan perwakilan.

Sebelum ini, Presiden SA Vigneswaran memaklumkan MIC tidak menolak kemungkinan menyertai PN, namun masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenainya.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata jika MIC memutuskan keluar BN, itu dilihat sebagai keputusan yang luar biasa.

Beliau berpandangan, MIC sudah berada dalam BN sekian lama dan dakwaan ingin keluar gabungan itu sekadar ‘tarik tali’ sahaja daripada kepimpinan mereka.

“Saya lihat kepimpinan mereka kecewa MIC tak dapat peranan sewajarnya dalam kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata MIC perlu kekal dalam BN kerana sukar baginya menarik pengundi bukan Melayu terutama masyarakat India jika menyertai PN.

Beliau berkata, MIC juga tidak boleh berharap kepada Bersatu dan PAS untuk membantu mereka dalam PRU seperti dilakukan Umno sebelum ini.

“Tanpa sekutu kuat MIC akan lemah. Masyarakat India tahu ada parti lain yang boleh diharapkan selain (MIC). Pandangan PAS yang dilihat lebih ekstrem menjauhkan lagi keyakinan masyarakat India untuk mengundi PN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.