
Puah berkata, menurut kanun keseksaan, hubungan seksual dengan gadis bawah umur 16 tahun tetap dikira sebagai rogol, walaupun dengan ‘persetujuan’ mangsa.
Menurutnya, undang-undang ini wujud kerana kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti sah untuk memberi persetujuan.
“Ia berasaskan hakikat bahawa mereka (gadis bawah umur) belum matang dari segi psikologi, kognitif dan pengalaman sosial.
“Tujuannya (undang-undang ini) bukan menilai kerelaan semata-mata, tetapi menghalang eksploitasi oleh orang dewasa melalui kuasa, usia atau manipulasi emosi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat yang dilaporkan mencadangkan perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.
Yusoff berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90% kes rogol bawah umur yang dilaporkan di negeri itu adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.
Puah berkata, menjadikan gadis bawah umur sebagai tertuduh akan menghantar mesej bahawa jika mangsa tidak melawan atau terpedaya dengan janji lelaki dewasa, mereka juga bersalah.
“Ini akan menambah stigma, menakutkan mangsa untuk tampil ke hadapan, dan menutup pintu keadilan,” katanya.