
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat, Dr Halimah Ali, berkata sebagai parti berprinsip dan berhasrat memayungi semua kaum, ahli PAS perlu memahami sensitiviti golongan yang mahu disantuni dan dilindungi.

“PAS tidak pernah membenci bukan Islam,” kata Ahli Parlimen Kapar kepada FMT.
Pada muktamar Isnin lalu, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) mengingatkan ahli supaya mengelak menggunakan perkataan yang boleh menyinggung perasaan bukan Islam, khususnya istilah ‘kafir’ dan ‘pendatang’.
Ketua DHPP Selangor, K Deepakaran, menegaskan masih wujud segelintir kecil ahli PAS yang menggunakan istilah sebegitu walaupun ia jelas membawa kesan negatif terhadap usaha merapatkan hubungan dengan masyarakat bukan Islam.
Mengulas perkara itu, Halimah berkata peringatan pemimpin DHPP lebih kepada mahu ahli PAS berhati-hati ketika menggunakan perkataan dianggap sensitif supaya tidak menimbulkan persepsi menghina kaum lain.
“Peringatan DHPP bertujuan untuk mengingatkan keluarga PAS supaya berhati-hati menggunakan perkataan dianggap sensitif dan disalahgunakan bagi tujuan menghina dan merendahkan sesuatu kaum.
“PAS sentiasa menjadi pendengar yang baik dan mengkaji segala luahan pembahas dan mengolah gerak kerja dakwah siasah berprinsip yang mengambil kira segala aspek,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim, berkata istilah ‘kafir’ tidak membawa maksud negatif jika difahami dan digunakan dengan tepat.
Katanya, dalam konteks tertentu perkataan itu wajar diraikan termasuk hal berkaitan soal agama membabitkan kefahaman orang Islam khususnya, bukan dengan niat untuk menyinggung perasaan pihak lain.
“Istilah ini perlu diberi kefahaman sebenar, bukan gambaran negatif (jika ia difahami dengan betul). Istilah kafir dalam bahasa Arab bermaksud menutup sesuatu, dan ia merujuk kepada pelbagai kategori kafir.
“Bagaimanapun, kita setuju istilah yang menyinggung perasaan satu sama lain dielakkan penggunaannya. Boleh sahaja ditukar kepada golongan bukan Islam,” katanya yang juga AJK PAS pusat.