Jangan politikkan isu dah selesai, Nancy beritahu Chong berkait bir ‘Santubong’

Jangan politikkan isu dah selesai, Nancy beritahu Chong berkait bir ‘Santubong’

Ahli Parlimen Santubong berkata ketua DAP Sarawak itu hanya mahu kekal relevan dengan ambil kesempatan daripada isu yang dilihat boleh menguntungkannya.

Chong Chieng Jen
Nancy Shukri dari GRS menasihatkan Ahli Parlimen Stampin dari DAP, Chong Chieng Jen supaya tumpu berkhidmat untuk penduduk di kawasannya sahaja.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Santubong Nancy Shukri berkata Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen cuba mempolitikkan isu penarikan bir buatan tempatan yang dinamakan ‘Santubong’ sedangkan pengeluar sendiri dengan rela mengeluarkan produk itu dari pasaran.

Wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu juga mendakwa Chong hanya mahu kekal relevan dalam arena politik dengan mengambil kesempatan daripada apa-apa isu yang dilihat boleh menguntungkannya.

“Saya percaya syarikat yang menghasilkan produk itu sedar tindakan mereka telah menyinggung perasaan penduduk Santubong. Sebab itu mereka bersetuju untuk menarik balik produk tersebut daripada pasaran.

“Mengapa Chong tiba-tiba membangkitkan isu yang sudah diputuskan oleh syarikat? Beliau sepatutnya beri lebih tumpuan kepada rakyat di kawasannya sendiri daripada campur tangan dalam isu yang sudah selesai,” katanya.

Menteri persekutuan itu juga menyokong kenyataan Adun Kota Sentosa daripada GPS, Wilfred Yap yang menegaskan bahawa tidak wajar menamakan bir itu sebagai ‘Santubong’ memandangkan majoriti penduduk kawasan itu beragama Islam.

Kata Nancy, sebab itulah penduduk di kawasan itu membantah penggunaan nama bir tersebut pada awalnya.

“Adalah lumrah bagi seorang pemimpin seperti saya untuk mempertahankan kesucian majoriti penduduk saya.

“Saranan saya kepada Chong hanyalah supaya dia berkhidmat dengan baik kepada pengundinya sendiri. Mereka lebih memerlukan beliau berbanding penduduk Santubong,” katanya lagi.

Menurut maklumat produk, bir itu ‘diinspirasikan oleh Gunung Santubong yang megah di Sarawak’. Ia dihasilkan dan dibotolkan di Sibu.

Terdahulu, Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin menyifatkan penarikan balik penjualan bir itu sebagai satu langkah ke belakang untuk negeri itu dan ‘hilangnya sebahagian nilai tinggi toleransi serta keharmonian Sarawak’.

Katanya, beliau tidak nampak sebarang masalah syarikat berkenaan menamakan bir itu ‘Santubong’ kerana ia membantu mempromosikan identiti Sarawak.

Ketua pembangkang negeri itu juga mempersoalkan mengapa rakyat Sarawak tiba-tiba menjadi begitu sensitif dan beliau jangkakan perkara sebegitu hanya berlaku di Semenanjung Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.