Anwar jemput PM Thailand kunjungi Malaysia

Anwar jemput PM Thailand kunjungi Malaysia

Perdana menteri berkata ia antaranya bagi mengeratkan hubungan baik kedua-dua negara berjiran.

ANWAR IBRAHIM
Anwar Ibrahim berkata Malaysia percaya semangat dialog, diplomasi dan persefahaman adalah jalan terbaik menjamin keamanan dan kestabilan serantau.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjemput Perdana Menteri Thailand yang baharu Anutin Charnvirakul untuk melakukan kunjungan ke Malaysia selepas beliau memulakan tugas secara rasmi.

Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata jemputan itu beliau sampaikan kepada Anutin semasa perbualan mereka menerusi panggilan telefon hari ini.

“Kunjungan (Anutin) itu antaranya bagi mempererat hubungan baik kedua-dua negara berjiran.

“Kami membincangkan mengenai perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja. Saya menekankan penting bagi semua pihak mengekalkan ketenteraman dan tidak membiarkan sebarang perbezaan mencetuskan ketegangan yang tidak perlu,” katanya.

Anwar turut menyeru agar segala isu yang timbul dibawa ke meja rundingan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC).

“Malaysia percaya bahawa semangat dialog, diplomasi dan persefahaman adalah jalan terbaik untuk menjamin keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.

Anutin, 58, yang merupakan ketua parti Bhumjaithai, secara rasmi memegang jawatan perdana menteri Thailand ke-32 pada 7 Sept lepas setelah menerima perkenan diraja sekali gus menandakan lembaran baharu dalam kepimpinan politik negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.