
Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, 31, memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bahawa pihaknya hanya mengetahui perkara itu selepas audio perbualan Zara dan ibunya Noraidah Lamat, tular selepas insiden 16 Julai lalu.
“Pihak sekolah kemudian membuat siasatan berhubung perkara itu. Bukti-bukti berkaitan isu itu diserahkan kepada polis. Kami juga membawa pelajar yang dikenali sebagai ‘Kak M’ dan semua pelajar yang disebutkan dalam audio itu untuk diambil keterangan polis,” katanya.
Saksi kelapan dalam prosiding inkues kematian Zara itu turut mendedahkan bahawa hasil siasatan pihak sekolah mendapati cerita berhubung ‘kalau aku touch-touch, kau berdarah’ sebenarnya berlaku pada Mei lalu.
“Hasil siasatan mendapati ‘Kak M’ didakwa menyebut sedemikian, susulan adiknya yang belajar di Tingkatan Dua telah diejek oleh Zara dan rakannya.
“Pelajar itu (Kak M) pada ketika itu berada dalam emosi tidak stabil susulan biliknya semak dan kotor,” katanya menurut Bernama ketika menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar yang mewakili kanak-kanak didakwa terlibat dalam kes buli Zara.
Saksi juga berkata, insiden ejekan terhadap adik ‘Kak M’ berlaku secara bertulis apabila Zara dan rakannya meninggalkan nota ‘Dia seorang yang sok orku, sengaja takutkan Form 1 (Tingkatan Satu), padahal baru juga junior’.
“Nama panggilan adik ‘Kak M’ juga disebut dalam bukti yang telah kami serahkan kepada pihak polis,” katanya.
Azhari menjelaskan bahawa istilah ‘sok sok’ bermaksud berpura-pura menjadi sesuatu, manakala ‘orku’ merupakan singkatan kepada perkataan ‘orang kuat’.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok.
Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu.
Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada kira-kira 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.