Ketua warden nafi sekolah sorok kebenaran kematian Zara

Ketua warden nafi sekolah sorok kebenaran kematian Zara

Azhari Abd Sagap berkata dia dan pihak sekolah tetap dikecam walaupun berusaha menyelamatkan remaja terbabit.

Mahkamah kota kinabalu
Ketua warden memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bahawa dia dan pihak sekolah tidak pernah cuba sembunyi kebenaran mengenai kematian Zara Qairina Mahathir.
PETALING JAYA:
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu diberitahu bahawa warga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha termasuk kakitangannya tidak pernah cuba menyembunyikan kebenaran berhubung kematian Zara Qairina Mahathir.

Saksi kelapan inkues, Azhari Abd Sagap, berkata walaupun dia dan pihak sekolah telah melakukan apa yang termampu untuk menyelamatkan remaja itu pada 16 Julai, menemani ibunya di hospital, menghadiri pengembumian dan memberi kerjasama penuh kepada polis, mereka masih dikecam.

“Saya tidak cuba melindungi pembuli atau (sekiranya ada) pembunuh Zara. Jika saya mahu melindungi (pembuli), saya tidak akan memberitahu polis apa yang berlaku pada malam 15 hari bulan. Saya adalah orang yang berurusan secara langsung dengan polis.

“Apa sahaja yang polis minta, sesiapa sahaja yang mereka mahu saya bawa ke IPD Papar. Saya kumpulkan (bukti) dan serahkan rakaman audio Kak M. Saya yang kenal pasti dia kepada polis.

“Apabila polis siasat sama ada audio itu tulen, saya yang terangkan kepada mereka,” katanya, menurut Harian Metro.

Dia berkata demikian ketika disoal peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah di hadapan koroner Amir Shah Amiri Hassan.

Fikry mewakili salah seorang tertuduh kanak-kanak berkaitan kes Zara Qairina.

Azhari yang juga ketua warden, serta guru bahasa Arab sekolah berkenaan berkata ‘Kak M’ adalah pelajar baik dan bukan seperti didakwa di media sosial.

Katanya, tuduhan dilontarkan terhadap pelajar itu begitu kejam hanya kerana dia orang pertama yang menemui Zara.

“Kalau bukan kerana dia, apa yang akan berlaku? Zara mungkin sudah kehilangan nyawanya di sana jika dia tiada. Tetapi ini balasan yang dia terima.

“Sama seperti saya… apabila saya cuba selamatkan Zara pagi itu, saya bawa dia ke hospital, saya hubungi 991 untuk ambulans dan saya berada di sana sehingga petang tanpa sempat mandi. Adakah ini yang patut saya dapat? Patutkah sekolah saya menanggung semua ini?” katanya.

Inkues akan bersambung pada sebelah petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.