Budak lelaki 12 tahun maut dibaham buaya

Budak lelaki 12 tahun maut dibaham buaya

Kejadian di Samarahan pagi tadi berlaku ketika mangsa Arif Fahmi Aiman Mohd Tinggal sedang menjala.

mangsa buaya kota
Menurut bomba, mayat mangsa ditemui kira-kira 10 meter dari tempat terakhirnya dilihat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang budak lelaki berusia 12 tahun maut dibaham buaya ketika menjala di Samarahan, pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 7.30 pagi ketika mangsa, Arif Fahmi Aiman Mohd Tinggal berada dalam perahu bersendirian di Sungai Kampung Empila sebelum disambar haiwan berkenaan.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.53 pagi.

Katanya, mereka kemudiannya menghantar sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi.

“Maklumat awal daripada seorang saksi lelaki, mangsa sedang menebar jala dari atas perahu pada jarak kira-kira 10 meter dari bot saksi yang ketika itu sedang memancing.

“Lelaki terbabit mendengar mangsa menjerit dan apabila dia menoleh ke arah suara itu, didapati mangsa hilang daripada pandangan,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Katanya, lelaki itu kemudiannya cuba mencari mangsa sebelum menghubungi talian kecemasan.

“Anggota bomba yang melakukan pencarian berjaya menemui mayat mangsa di lokasi kira-kira 10 meter dari tempat terakhir dia dilihat.

“Pemeriksaan awal menemui kesan kecederaan akibat gigitan buaya di badan dan dada mangsa.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.