Penunggang p-panggilan didakwa bunuh anak asuhan isteri

Penunggang p-panggilan didakwa bunuh anak asuhan isteri

Isteri tertuduh pula didakwa atas tuduhan menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa berusia enam tahun.

Syafiq Daniel Osman dan isterinya Nur Nilam Kamaruddin dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Seorang penunggang p-panggilan didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh seorang budak lelaki berusia enam tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Ipoh pada 3 Mac lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas tuduhan dibacakan terhadap Syafiq Daniel Osman kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Syafiq, 26, didakwa membunuh Shakir Firman Firdaus di sebuah bilik hotel di Jalan Ipoh antara 1.15 pagi hingga 7.15 pagi pada 3 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Amira Abd Aziz kemudian menetapkan 26 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, isteri Syafiq, Nur Nilam Kamaruddin, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan berasingan menganiaya kanak-kanak itu yang juga anak asuhannya.

Nur Nilam yang hamil anak ketiga didakwa menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada kanak-kanak tersebut di sebuah rumah PPR di Jalan Silang, di sini pada 9 malam, 25 Feb lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Siti Syakirah Mohtarudin membenarkan Nur Nilam dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 9 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee Yee Khuan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.