2 beranak ditemui maut dalam MPV

2 beranak ditemui maut dalam MPV

Mangsa berasal dari Alor Gajah dikenali Zabanah Abu Hussin dan anaknya Intan Nur Shafiqah Othman yang juga Orang Kurang Upaya.

Dzulkhairi Mukhtar
Menurut Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kejadian dipercayai berlaku akibat kebocoran gas penyaman udara. (Gambar Facebook)
MELAKA:
Dua beranak ditemukan maut dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai akibat kebocoran gas penyaman udara di Jalan Solok Hilir, Paya Rumput di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, berkata kejadian pada 12.24 tengah malam melibatkan Zabanah Abu Hussin, 57, dan anaknya Intan Nur Shafiqah Othman, 25, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU).

“Mangsa berasal dari Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah dipercayai tertidur dan ditemukan orang awam yang menyedari mereka berada terlalu lama dalam kenderaan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (Ex Kesidang) 2025 di Ayer Keroh hari ini.

Dzulkhairi berkata siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sampel darah mangsa dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian dadah, alkohol dan karbon monoksida manakala kenderaan ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk siasatan lanjut.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dengan siasatan lanjut diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.