
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata, rampasan itu merupakan yang terbesar melibatkan penyeludupan vape di pusat pemeriksaan darat Singapura sejak hukuman lebih berat dikuatkuasakan pada 1 Sept lepas.
“Barang rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Sains Kesihatan untuk siasatan lanjut,” kata ICA dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurut agensi itu, lori yang berdaftar di Malaysia itu dikesan oleh Pusat Penyasaran Bersepadu ICA melalui penilaian risiko sebelum ketibaan sebelum diarahkan menjalani pemeriksaan ketat.
Hasil pemeriksaan, pegawai menemukan barangan terlarang itu yang disembunyikan dalam lori yang diisytiharkan membawa ‘komponen untuk bidai luaran bermotor’.
Pada Ogos lepas, ICA memaklumkan pemeriksaan di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut telah diperketat bagi mengesan dan menghalang cubaan penyeludupan vape, sebagai sebahagian usaha bersepadu seluruh kerajaan membasmi produk terbabit.