Majlis Tertinggi PN bincang ‘poster boy’ PRU16 minggu depan

Majlis Tertinggi PN bincang ‘poster boy’ PRU16 minggu depan

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata semua komponen PN akan bersetuju dengan keputusan majoriti yang dicapai.

Muhyiddin Yassin Abdul Hadi Awang
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin (kiri) berjabat tangan dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Muktamar PAS ke-71.
ALOR SETAR:
Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan bermesyuarat dalam seminggu lagi untuk membincangkan calon perdana menteri gabungan itu bagi PRU16, kata pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang diumumkan Bersatu sebagai calon perdana menteri minggu lalu, berkata mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan diadakan sebaik sahaja Presiden PAS Abdul Hadi Awang mempunyai masa.

Katanya, Hadi perlukan masa berehat daripada Muktamar PAS ke-71 yang berakhir esok.

Beliau mengulangi bahawa semua komponen PN mempunyai hak untuk menamakan calon perdana menteri masing-masing, namun keputusan muktamad akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi gabungan itu.

“Saya sudah maklumkan kepada Tan Sri Tok Guru (Hadi) bahawa kita akan adakan mesyuarat Majlis Tertinggi PN dan perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan di situ.

“Kita bersikap terbuka, tiada apa-apa masalah. Jadi kita bincang dan kalau keputusan majoriti setuju kita akan terima,” katanya kepada pemberita di luar muktamar PAS di sini.

Muhyiddin dicalonkan sebagai calon perdana menteri bagi PRU akan datang pada Perhimpunan Agung Bersatu hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, PAS pada muktamarnya meluluskan usul untuk parti itu menerajui PN dan mempunyai calon perdana menteri sendiri.

Sementara itu, Muhyiddin menolak dakwaan kononnya hubungan antara Bersatu dan PAS semakin renggang, sambil menyifatkan pihak yang membuat dakwaan itu sebagai iri hati terhadap perpaduan dalam PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.