Mahkamah Rayuan batal penurunan pangkat bekas naib canselor UPM

Mahkamah Rayuan batal penurunan pangkat bekas naib canselor UPM

Mahkamah berkata Fauzi Ramlan diturunkan pangkat secara tidak adil dan memerintah UPM pulih pangkatnya serta bayar semua faedah kepadanya dalam tiga bulan.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan UPM menurunkan pangkat bekas naib canselornya Fauzi Ramlan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membatalkan penurunan pangkat bekas naib canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Fauzi Ramlan yang dikenakan tindakan disiplin sebelum ini kerana meluluskan dua perjanjian komersial tanpa kelulusan lembaga pengarah universiti.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim S Nantha Balan, mendapati berlaku ketidakadilan prosedur apabila Jawatankuasa Rayuan Tatatertib (DAC) UPM mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib (DC).

Panel hakim itu turut dianggotai Hakim Nazlan Ghazali dan Choo Kah Sing.

Pada Jun 2021, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Fauzi dengan memutuskan UPM dan DAC bertindak betul dalam menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Tetapi, dalam menyampaikan alasan penghakiman lebih luas, Nantha berkata, Fauzi tidak hadir ketika saksi utama memberi keterangan di depan DAC, termasuk seorang saksi yang mengemukakan bukti memihak kepadanya.

“Beliau (Fauzi) tidak berpeluang untuk didengar dan menjawab pertuduhan dilemparkan terhadapnya, yang merupakan pelanggaran prinsip keadilan semula jadi.”

Dalam membenarkan rayuan itu, panel hakim memutuskan penurunan pangkat Fauzi daripada gred VK6 ke VK7 tidak berasas dan mengembalikannya ke gred asal berkuat kuasa 9 Okt 2018, tanpa kehilangan sebarang faedah.

UPM juga diperintahkan membayar semua kelayakan kewangan kepada Fauzi dalam tempoh tiga bulan, dengan faedah 5% dan kos RM25,000.

Fauzi diwakili peguam T Gunseelan, John Skelchy, Shirlena Yogeswaran dan R Kumaradevan, manakala UPM, DAC dan Kementerian Pendidikan Tinggi diwakili Kok Su Ann, Isabella Cheah serta Nur Liyana Nor Azman.

Perjanjian komersial yang menjadi asas kepada pertuduhan tatatertib itu ditandatangani Fauzi dalam kapasiti rasminya sebagai naib canselor UPM.

Permohonan semakan kehakiman dikemukakan Fauzi berdasarkan dakwaan bahawa prosiding tatatertib dimulakan UPM dicemari pelbagai kecacatan dan penyelewengan prosedur, termasuk dalam merangka pertuduhan dan proses membuat keputusan DC, yang akhirnya mendapati beliau bersalah.

Dalam satu mesyuarat lembaga pengarah UPM, Fauzi dan penasihat undang-undang universiti itu pada mulanya ditegur atas kegagalan menjaga kepentingan universiti.

Selepas mendapati Fauzi bersalah dan menegurnya, lembaga pengarah kemudian mengarahkan Jabatan Audit Dalaman menyemak perjanjian itu serta kes perolehan lain.

Berdasarkan laporan audit jabatan itu, lembaga pengarah kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman (IIC) untuk meneliti dan mengumpul maklumat berhubung pelaksanaan projek serta dua kes perolehan lain.

Fauzi diminta menghadiri pendengaran IIC pada 8 Nov 2016, di mana beliau didakwa atas tuduhan menyalahgunakan kuasa.

Selepas menilai dapatan IIC, lembaga itu memutuskan beliau perlu menghadapi prosiding tatatertib di bawah Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 dan disusuli penubuhan DC.

Pada 9 Okt 2018, selepas menyemak representasi bertulis Fauzi, DC mengambil keputusan menurunkan pangkatnya, yang kini dibatalkan Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.